Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu mesyuarat petang ini, bincang keputusan Umno putus kerjasama
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 1:33 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Bersatu akan membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini, maklum Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.

Ini selepas Umno menghantar surat, mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya ke-15 bermula.

Hamzah Zainudin berkata mesyuarat majlis tertinggi PN bersama pemimpin dari PAS, Star, SAPP, dan Gerakan akan datang juga akan membincangkan perkara ini.

"Sehubungan itu, Biro Politik Bersatu mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada petang ini, 4 Mac 2021 (Khamis) dan pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan datang," katanya.

Pada masa ini Umno mempunyai lapan menteri dalam kabinet PN, serta ramai pemimpin dan ahli parlimen Umno memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan GLC.

Hamzah pada kenyataannya pagi ini, mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.

Dia juga mengesahkan Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam mesyuaratnya di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari.

Kata Hamzah, Biro Politik Bersatu mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi Umno mengenai dua perkara utama.

"Pertama, tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

"Kedua, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen," katanya.

Menjelaskan keputusan MT Umno itu, Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, keputusan akhir perlu mendapat perakuan kepimpinan tinggi menerusi perhimpunan agung Umno (PAU), yang sepatutnya diadakan pada 31 Jan.

Bagaimanapun, Umno terpaksa menangguhkan PAU susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam negara.

Bekas setiausaha agung Umno dan BN, Annuar Musa berkata Umno akan rugi jika tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan kelak.

Annuar yang juga menteri kabinet PN menjelaskan dari tarikh pembubaran sehingga hari mengundi PRU15 di adakan, Umno tidak berada dalam caretaker government (kerajaan sementara).

"Tidakkah tindakan yang di buat dalam keadaan tarikh PRU belum di putuskan, memberi disadvantage (merugikan) kepada Umno, kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya Bersatu mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno, yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak Bersatu," katanya, semalam.

Lihat Komen