Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menafikan terdapat kejadian potong barisan bagi suntikan vaksin Covid-19 setelah siasatan dilakukan tidak menemui bukti perkara itu berlaku.

Menteri itu dipetik sebuah portal berita menyatakan perkara itu disebabkan kekeliruan apabila beberapa petugas barisan depan yang sepatutnya mendapatkan vaksin tidak hadir tepat pada waktunya, dan mereka perlu diganti.

Namun, Adham menegaskan pengganti itu juga merupakan petugas barisan hadapan.

"Jadi, saya menafikan ada pemotongan barisan. Apa yang berlaku adalah, setelah siasatan, saya mendapati mereka yang sepatutnya diberi vaksin tidak muncul atau tidak datang tepat pada waktunya.

"Masalahnya ialah ketika kita buka botol, enam orang perlu diberi vaksin sekali gus. Semasa pendaftaran, beberapa daripada mereka berada di sana, dan ketika tiba masanya untuk diberikan, mereka tiada," katanya.

"Oleh itu, kita terpaksa mencari orang lain pada masa itu untuk mengelakkan pembaziran vaksin. Itu memang berlaku, tapi kita masih memberikan vaksin itu kepada barisan depan. Bukan mereka yang didakwa mendapatkannya kerana ada 'connection'.

"Ia diberikan kepada barisan depan yang hadir pada masa itu," katanya kepada MalayMail.

[Baca berita penuh]