mk-logo
Berita
SPRM kata syarikat suap Zahid tiada perniagaan, tapi akaun terlalu aktif

Tiga syarikat yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi didapati tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, kata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zamri Abdul Rashid.

Meskipun tiga syarikat berkenaan - Mastoro Kenny IT Consultant & Services (Mastoro Kenny), Jogabonito Jewellery & Diamonds (Jogabonito) dan Berani & Jujur Trading (Berani & Jujur) - didapati tidak menjalankan aktiviti perniagaan, namun, kata Mohd Zamri, ada yang mempunyai akaun terlalu aktif, membabitkan keluar-masuk wang dalam jumlah yang besar.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, sebagai saksi ke-92 perbicaraan perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Mohd Zamri menjawab soalan Ahmad Sazilee berkaitan hasil siasatannya terhadap kewangan ketiga-tiga syarikat berkenaan.

“Berani & Jujur (didapati) tidak mempunyai syarikat, pekerja, dan berdaftar di satu alamat apartment. Daripada penilaian kewangan, keluar masuk akaun terlalu aktif dengan jumlah yang besar.

“Kalau merujuk SSM, Berani & Jujur terlibat dalam (aktiviti) pertanian, dan berdasarkan (keterangan) saksi juga (menyatakan) perniagaan kain, tetapi semakan kewangan (menunjukkan) pengeluaran duit keluar-masuk terlalu aktif.

“Siasatan saya (mendapati) tak wujud perniagaan kain. Penggeledahan di premis pun tak ada perniagaan di premis tersebut.

“Mastoro Kenny juga sama, kerana menggunakan alamat apartment yang sama dengan Berani & Jujur, tak ada perniagaan dijalankan di sana.

“Jogabonito juga sama, pada masa siasatan dilakukan, tak ada perniagaan berlaku,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, berdasarkan semakan rekod SSM, ketiga-tiga syarikat itu mempunyai alamat berbeza.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan jenayah pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan ke-11, 12, dan 13, dia dituduh menerima suapan berjumlah RM13.25 juta daripada Mastoro Kenny antara 2017 hingga 2018, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Suapan itu didakwa dibuat menerusi cek-cek milik Mastoro Kenny (13 cek), Jogabonito (satu cek), dan Berani & Jujur (10 cek).

Kesemua bayaran cek berkenaan dibuat kepada Tetuan Lewis & Co.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi - yang mana Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal.

Bagaimanapun, cadangan itu dinafikan sendiri oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Dalam pemeriksaan balas, Zamri bersetuju dengan cadangan peguam bela Hamidi Mohd Noh bahawa akaun bank Lewis & Co merupakan akaun pelanggan, oleh itu wang yang dimasukkan ke dalamnya dipegang atas amanah, tanpa dipindah milik kepada firma itu.

Bagaimanapun, Zamri tidak bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa kes rasuah selalunya membabitkan transaksi tunai dan bukan transaksi ke dalam akaun bank, kerana berdasarkan pengalamannya, ada juga kes sedemikian berlaku.

Hamidi turut memetik kenyataan saksi saksi ke-36, pemilik syarikat Berani & Jujur, Junaith Asharab Md Shariff, bahawa Ahmad Zahid tidak pernah menjanjikan apa-apa projek kepadanya, sebaliknya wang yang diberikan adalah sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

Hamidi: Saya cadangkan, itulah kesnya, fakta betul, bahawa wang ini adalah wang derma (donation) kepada Yayasan Akalbudi.

Zamri: Tidak setuju.

Hamidi: Tuan ialah pegawai SPRM yang menyiasat kes-kes rasuah. Setuju dengan saya, bahawa ini adalah bukan kes rasuah.

Zamri: Saya tak setuju.

Semasa diperiksa balas peguam bela Ahmad Zaidi Zainal pula, Zamri mengaku dia tidak ada merakam percakapan ahli lembaga pengarah atau ketua pengarah eksekutif MyEG.

Bagaimanapun, Zamri tidak bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa siasatannya menjadi tidak lengkap kerana tidak merakam keterangan pihak berkenaan, justeru tidak dapat menentukan dengan jelas dan sahih kaitan antara MyEG dengan syarikat-syarikat yang disiasatnya.

Ahmad Zaidi: Sekarang ini sahih atau tidak, ada kaitan atau tidak dengan MyEG?

Zamri: Berdasarkan pertuduhan …

Ahmad Zaidi: Saya tanya (berdasarkan) siasatan. Sebelum tuduh, siasat dulu. Jadi sahih ke tidak, ada kaitan dengan MyEG?

Zamri: Tidak ada.

[...]

Ahmad Zaidi: Siasatan Encik Zamri tidak lengkap berdasarkan itu?

Zamri: Saya tak setuju. 

Lihat Komen
ADS