Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kementerian Kewangan sasar wujudkan 500,000 peluang pekerjaan'
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 9:58 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Antara matlamat utama Kementerian Kewangan tahun ini adalah mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu mengurangkan beban rakyat akibat wabak Covid-19, kata menterinya Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, kementerian menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi pewujudan Majlis Pekerjaan Negara dan program Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja).

"Program JanaKerja dijangka mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan, program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan 200,000 (pekerjaan), dan program MyStep dengan 50,000 lagi, katanya ketika sidang media sempena setahun sebagai menteri kewangan baru-baru ini, seperti dipetik The Borneo Post.

Berkenaan usaha mendepani kemerosotan ekonomi, Zafrul berkata kerajaan telah mengambil pendekatan 6R, iaitu resolve, resilience, restart, recovery, revitalise dan reform.

Katanya lagi, keutamaan kerajaan adalah untuk mencari keseimbangan dalam aspek kesihatan dan ekonomi.

"Akhirnya, yang utama adalah hasilnya. Dengan kesukaran pada 2020, inisiatif seperti program subsidi gaji telah mengagihkan RM14.4 bilion dan berjaya menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dan membantu 320,000 majikan.

"Ketika merangka Belanjawan 2021, kita juga mengadakan libat urus dengan lebih 6,000 pemegang taruh daripada pelbagai sektor, termasuk NGO," katanya.

Zafrul berkata, dengan proses libat urus dan ketelitian Kementerian Kewangan, dia merasakan semua pilihan telah dipertimbangkan dan semua aspek diambil kira.

"Pastinya kita tidak boleh meramal bencana banjir pada Januari, ditambah pula dengan PKP 2,0, kita dengan segera mengumumkan pakej Permai," katanya.

Pada tahun lalu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion.

Pakej Permai pula diumumkan pada Januari dan menjadi pakej rangsangan kelimat yang bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk menangani wabak Covid-19.

Lebih banyak bantuan

"Kerajaan juga sedang meneliti cara untuk meningkatkan kehidupan mereka yang terlibat dalam ekonomi tidak formal. Tinjauan yang dibuat di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur mendapati masih ada yang tercicir dan tidak didaftarkan dalam mana-mana sistem kerajaan, menyebabkan bantuan kerajaan tidak dapat disalurkan," katanya.

Katanya lagi, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berjumlah RM6.5 bilion juga telah diagihkan kepada seramai 8.5 juta rakyat berpendapatan rendah dan dari kalangan B40.

"Bantuan ini telah dipercepat daripada Mei kepada Februari. Selain itu, bantuan turut melibatkan pengeluaran akaun 1 KWSP (i-Sinar), selain bantuan sosial kepada golongan rentan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS