'Tiada bayaran tambahan jika hospital swasta dibenar beli vaksin'
Hospital swasta tidak akan mengenakan sebarang bayaran tambahan untuk suntikan Covid-19 jika diberi kebenaran oleh kerajaan untuk mendapatkan vaksin secara terus daripada pembekal yang dibenarkan.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh dilapor berkata, sekiranya hospital swasta dibenarkan mendapatkan vaksin, mereka akan menguruskannya pada kos perolehan.
"Kami tidak akan mengenakan bayaran tambahan untuk inokulasi (suntikan vaksin).
"Kami akan membeli atas permintaan, apa pun kosnya, dan itu adalah jumlah yang perlu dibayar orang ramai kerana kami tidak akan membuat keuntungan," kata Kuljit, seperti dipetik portal dalam talian, The Vibes.
Katanya, jika hospital swasta dibenar membeli vaksin secara langsung, mereka hanya akan memilih vaksin yang telah mempunyai kelulusan.
Kuljit dilapor berkata kesemua 146 anggota APHM dan 64 hospital bukan anggota juga bersedia menyokong rancangan imunisasi Covid-19 kebangsaan yang sedang berlangsung dengan tidak mengenakan bayaran tambahan bagi vaksin percuma.
Pada masa ini, dia berkata kerajaan harus faham bahawa tujuan hospital swasta adalah untuk menjadi rakan kongsi dan membantu menyebarkan vaksin secepat mungkin.
"Ini juga akan memberi peluang kepada orang yang memerlukan vaksin lebih awal untuk diinokulasi secepat mungkin kerana peningkatan interaksi mereka dengan orang lain atau keperluan perniagaan, pekerjaan atau agama yang mengharuskan mereka melakukan perjalanan ke luar negeri.
"Mereka yang bersedia membayar vaksin akan memberi ruang kepada orang lain yang menunggu vaksinasi percuma," kata.
Kuljit berkata demikian bagi mengulas kenyataan daripada wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim yang dilaporkan berkata sektor swasta boleh dibenarkan untuk membeli vaksin setelah kekebalan kelompok (herd immunity) tercapai.
Kuljit berkata terdapat salah faham mengenai konsep kekebalan kelompok kerana "tidak masuk akal" bagi hospital swasta untuk menjalankan peranannya hanya selepas 80 peratus atau 26.5 juta penduduk, termasuk warga asing, menerima vaksin.
Sebaliknya, Kuljit berkata penglibatan mereka perlu bermula pada Fasa 2, dari April hingga Ogos, dengan menyasarkan sekitar 9.4 juta orang di kalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas, serta anggota kumpulan berisiko tinggi dan orang kurang upaya.
Menurut angka dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, sejumlah 3,244,641 individu telah mendaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan setakat jam 3 petang semalam.
Pendaftaran untuk program vaksinasi dibuka pada 24 Februari melalui aplikasi MySejahtera, yang merupakan salah satu daripada lima kaedah yang disediakan oleh kerajaan untuk tujuan tersebut.

