Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungan peniaga desak k’jaan tubuh ‘bon rakyat’ pulihkan ekonomi

Sebuah gabungan yang membabitkan 262 persatuan peniagaan dan dewan peniaga dan perdagangan mahu kerajaan mewujudkan satu “bon rakyat” dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akbibat penularan wabak Covid-19.

Menamakan diri mereka sebagai 'Business Survival Group', gabungan itu mendakwa mereka mewakili 950,000 usahawan dan ahli peniaga dari seluruh negara dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan peranan pihak bank dalam membantu ekonomi negara yang dikatakan sangat terhad.

Pengerusi penaja gabungan itu Abdul Malik Abdullah berkata kempen '#Banker With Big Heart' bertujuan mewujudkan satu kerjasama awam swasta dengan pihak kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

"Kami menggesa kerajaan agar mewujudkan satu bon (bon rakyat) dijamin olehnya, di mana pihak bank hanya perlu melabur 30 peratus daripada keuntungan mereka untuk dua tahun.

"Seterusnya, pihak kerajaan perlu menubuhkan satu special purposes vehicle (SPV) sebuah syarikat tujuan khas untuk membantu para usahawan dan peniaga yang menghadapi kesukaran mendapatkan model untuk meneruskan perniagaanya.

"Kerajaan akan menetapkan terma dan syarat, sementara pihak swasta menguruskan SPV tersebut," katanya di sidang media selepas pelancaran kempen tersebut di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Abdul Malik, keuntungan bank bagi tahun 2019 dan 2020 adalah lebih kurang RM70 bilion.

"Kami hanya minta mereka untuk melaburkan RM21 bilion yang perlu dijamin oleh kerajaan. Maka, risiko pihak bank kehilangan pelaburan sangat rendah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Dr AT Kumararajah berkata bahawa peranan pihak bank dalam tempoh pandemik perlu dikaji semula.

"Sebagai contoh, laporan Laksana 42 (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) menunjukkan di bawah kemudahan bantuan khas hanya 6,731 (3.32%) syarikat keusahawan sederhana dan kecil layak menerima pinjaman dengan anggaran RM1.259 bilion.

"Sedangkan jumlah dana disediakan adalah RM10 bilion dengan sasaran hampir 205,000 pemain dalam sektor keusahawanan sederhan dan kecil di Malaysia.

"Ini kerana, pihak bank masih menggunakan sistem penapisan bagi pinjaman yang sedia ada menyebabkan banyak peniaga tidak layak kerana perniagaan terjejas teruk," katanya.

"Maka, kami minta pihak bank untuk tampil ke depan dengan sedikit kelonggaran agar kerjasama dengan pihak kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS