Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kalimah Allah: Timbalan KM S'wak bidas ahli politik Umno, PAS
Diterbitkan:  Mar 11, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing membidas ahli politik Umno dan PAS berhubung gesaan supaya kerajaan merayu keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.

Ini selepas Mahkamah Tinggi memutuskan penganut Kristian Sarawak berhak menggunakan kalimah "Allah" bagi tujuan pendidikan dan keagamaan.

Mengulas desakan PAS dan Umno itu Masing berkata ahli politik kedua parti itu tidak patut mencampuri urusan kehakiman negara.

"Menjadi harapan saya bahawa kita perlu membenarkan pihak agama dan mahkamah untuk memutuskan berkenaan isu-isu agama dan bukan ahli politik," katanya dipetik Malay Mail.

Dia juga berkata tuntutan Umno dan PAS itu sebagai tidak masuk akal.

Masing juga anggota gabungan GPS Sarawak. GPS bersekutu dengan Umno dan PAS bawah pemerintahan Perikatan Nasional.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian etnik Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Dia berkata arahan itu tidak mempunyai sokongan undang-undang dan oleh itu tidak sah dan tidak rasional.

Ireland, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar oleh sekatan atau larangan mengimport bahan pendidikan.

Hakim berkata tidak ada bukti penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Kristian masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak yang berbahasa Melayu selama lebih dari 400 tahun pernah mengancam ketenteraman awam.

Walaupun keputusan ini dilihat berbeza, ia tidak bertentangan dengan preseden sebelumnya yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015, ketika mahkamah tertinggi negara menolak rayuan Gereja Katolik Rom untuk menggunakan kalimah "Allah."

Peguam Ireland menjelaskan ini kerana kes sebelumnya melibatkan cabaran terhadap enakmen agama negeri, manakala kes sekarang tidak melibatkan cabaran seperti itu.

Sementara itu, Upko Sabah berkata keputusan Mahkamah Tinggi merupakan isu undang-undang dan perlembagaan serta bukan mengenai sensitiviti kaum atau agama.

Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Pun begitu, mereka berharap gesaan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional supaya kerajaan merayu keputusan mahkamah tinggi itu dibuat berdasarkan merit undang-undang.

"Kami berharap kenyataan oleh MN mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memohon rayuan terhadap keputusan itu dibuat berdasarkan hujah undang-undang dan tidak berdasarkan permainan sentimen kaum dan agama tertentu untuk meraih sokongan politik atau untuk memperkuat pakatan MN," kata mereka pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden Upko Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden Donald Mojuntin dan Naib Presiden Ewon Benedick.

Ketiga-tiga mereka menyatakan kebimbangan jika Jabatan Peguam Negara akan dapat membuat keputusan bebas berhubung rayuan itu memandangkan Umno dan PAS sebahagian parti pemerintah kerajaan pusat.

"Kami berharap keputusan yang baik dan tegas akan ditegakkan dalam menghormati keputusan Mahkamah Tinggi," kata mereka lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS