Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan sebagai alat untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

"Siapa saja pun boleh buat tekaan, kritikan, andaian dan insinuate anything just to potray (perli apa saja untuk menggambarkan) PDRM sebagai satu alat untuk nak sokong kerajaan.

"Saya ulangi saya tegas dengan pendirian saya bahawa apa juga kegiatan yang diambil oleh pihak saya, tiada kaitan dengan politik.

"Sebelum ini ada menyatakan PDRM telah ambil tindakan terhadap tokoh-tokoh pembangkang, baik zaman dulu, baik zaman sekarang," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai dakwaan Pakatan Harapan bahawa PN menggunakan agensi kerajaan termasuk PDRM sebagai senjata politik untuk menambah sokongan.

Pada 5 Mac lalu, PH mendakwa terdapat usaha menggunakan agensi kerajaan untuk memberi tekanan kepada ahli parlimen pembangkang agar menyokong PN.

Majlis Presiden PH mendakwa mereka difahamkan antara agensi yang dijadikan "senjata politik" ialah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang menyasarkan ahli parlimen pembangkang serta pegawai dan ahli keluarga mereka. 

Abdul Hamid secara umum menjelaskan bahawa sebarang tindakan yang diambil polis seperti memanggil individu tertentu - yang kebetulan merupakan orang politik - ke balai polis atau Bukit Aman adalah untuk merakam kenyataan mereka berdasarkan laporan yang dibuat.

Tambahnya, ia tidak mengira laporan berhubung kesalahan apa pun, tetapi jika pihak polis mendapati ada unsur-unsur kesalahan kertas siasatan akan dibuka dan individu tersebut akan dipanggil.

"Ia akan diambil tindakan dalam suasana yang begitu profesional.

"Saya tak benarkan apa-apa kata ugutan (atau) tawaran kepada mereka apabila kenyataan mereka dirakam.

"Dan pihak saya tawarkan bila tarikh sesuai dan di mana nak rakam kenyataan," katanya.

Abdul Hamid juga menepis dakwaan bahawa polis mahu menakut-nakutkan sesiapa dengan mewajibkan mereka beri keterangan di balai.

Katanya, ia supaya proses dilakukan dengan mudah dan cepat.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, Abdul Hamid menasihati supaya ahli politik tidak melanggar undang-undang apabila melibatkan kegiatan politik kerana ada pihak lain yang akan membuat laporan polis sekiranya mereka terkesan dengan tindakan tersebut.

"Saya beri jaminan, orang politik buatlah kegiatan apa pun tentang politik tapi jangan langgar undang-undang, sebab ada pihak yang akan rasa terkesan dan pihak tersebut akan buat laporan polis apabila unsur-unsur itu dibangkitkan.

"Unsur-unsur perkauman yang jatuh di bawah Akta Hasutan, fitnah, kesalahan di bawah kanun-kanun keseksaan yang lain.

"Jadi jangan, elakkan. Sama-samalah kita pikul tanggungjawab ini," katanya.

Lihat Komen
ADS