Lembaga Pengelola Sekolah SJK (T) Ladang Sungai Ular di Kulim hari ini memberitahu tiada bukti menunjukkan bekas menteri besar Kedah Allahyarham Azizan Abdul Razak menyerahkan tanah tempat bangunan itu dibina secara percuma kepada pihak sekolah.
Sebaliknya kata mereka tanah seluas 0.447 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu hanya dibenarkan untuk dibina bangunan tambahan pada 2009.
"Pada 2009 pihak sekolah hanya mendapat kebenaran untuk membina bangunan tambahan. Tiada bukti menunjukkan tanah itu diserahkan kepada pihak sekolah.
"Sekiranya ada bukti tanah itu diberikan untuk kegunaan pihak sekolah, maka kami sedia mengambil tindakan selanjutnya," kata badan itu dalam kenyataan media hari ini.
Lembaga pengelola sekolah terbabit berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu Saifuddin Nasution Ismail dan bekas exco kerajaan Kedah S Manikumar yang mendakwa Azizan menyerahkan tanah tersebut secara percuma kepada pihak sekolah.
Sehingga hari ini kerajaan Kedah atau PKNK tidak menafikan kenyataan Saifuddin dan Manikumar.
Isu tanah sekolah menjadi hangat selepas PKNK pada 2019 mengenakan bayaran sebanyak RM163,000 kepada pihak terbabit sebagai kadar pajakan selama 30 tahun.
Tamat Jan 2024
Bagaimanapun pihak sekolah terbabit tidak mampu membuat bayaran tersebut dan ia mendorong Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor membenarkan mereka mendudukinya secara percuma selama tiga tahun dan kebenaran tersebut perlu diperbaharui semula.
Namun, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan pajakan sementara antara PKNK dan pihak lembaga berkenaan.
Hal itu timbil selepas beberapa terma dan syarat diletakkan pihak PKNK dilihat sebagai tidak adil.
Antara terma syarat itu ialah, pihak sekolah tidak dibenarkan membuat sebarang binaan bangunan baru atau kemudahan tambahan selain yang sedia ada.
PKNK juga berhak menarik balik kebenaran menduduki secara sementara itu pada bila-bila masa dengan memberikan notis awal tiga bulan.
Pihak sekolah juga perlu mengosongkan tanah tersebut dengan serta-merta tanpa sebarang pampasan dalam masa tiga bulan setelah menerima notis tersebut.
Kebenaran sementara pada masa ini akan tamat pada 31 Jan 2024.
PKNK adalah sebuah agensi di bawah kerajaan negeri yang menjana ekonomi dan bertanggungjawab untuk melaksanan proram tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sekolah yang dibina pada 1936 itu kini mempunyai 173 murid.
