Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO beri bayangan veteran tentera tanding pada PRU15

Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini memberi bayangan bahawa veteran angkatan tentera Malaysia (ATM) sedia bertanding pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).

Ini selepas Presiden GMPN Mejar Razali Zakaria berkata bahawa lebih 100 NGO berkaitan bekas anggota tentera terlibat dengan cadangan bahawa veteran perlu bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Memang ada rancangan beberapa kumpulan veteran tentera berniat bertanding pada PRU15. Ini memandangkan situasi politik semasa ini tidak menentu.

"Orang hilang kepercayaan dengan ahli parlimen sekarang yang lompat ke sana dan ke sini. Orang politik sekarang memang tidak boleh diharapkan

"Kami akan bersatu menghantar wakil kami (veteran tentera) ke Dewan Rakyat untuk menyuarakan isu rakyat dan isu anggota tentera yang sudah lama terbengkalai," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura bahawa kumpulan veteran tentera berniat bertanding pada PRU15.

Terdahulu, Malaysiakini melihat satu senarai beberapa bekas anggota tentera akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Yang senarai memang kami yang sediakan. Pada peringkat sekarang kami membuat sasaran 50 kerusi parlimen.

"Kami kenal pasti kerusi-kerusi yang mempunyai jumlah undi anggota tentera dan veterannya yang tinggi," katanya sambil menambah bahawa mereka kemungkinan akan bertanding sebagai calon bebas.

Antara kerusi yang disenaraikan adalah Setiawangsa, Titiwangsa, Port Dickson, Jeli dan Ketereh.

Menurut Razali lagi, satu sekretariat dikenali sebagai "sekretariat veteran bertindak: ditubuhkan.

"Buat masa ini kami membuat jelajah seluruh negara.

"Kami memberi taklimat khususnya kepada anggota tentera dan keluarganya berhubung kepentingan veteran tentera bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Lihat Komen
ADS