mk-logo
Berita
Penghantar surat maut, motor terlanggar kera lintas jalan
Diterbitkan:  Mar 13, 2021 9:17 PM
Dikemaskini: 3:28 PM

Seorang penghantar surat maut setelah motosikal ditunggangnya terlanggar seekor kera yang melintas jalan di Km 37.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di Lenggong semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Dzulkifli, 34, pada kira-kira 5.20 petang.

"Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kampung Bukit Sapi, Lenggong menunggang motosikal bersendirian dari arah Lenggong ke Kuala Kangsar sebelum terlanggar seekor kera yang melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kanan ke kiri.

"Mangsa dipercayai telah tercampak di atas jalan raya dan dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia kira-kira 5.55 petang semasa menerima rawatan akibat pendarahan dalam kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengenakan topi keledar ketika menunggang motosikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Lihat Komen
ADS