Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Darurat: Resolusi Badan Peguam akan fail tuntutan di mahkamah

Badan Peguam Malaysia telah memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk mengambil sebarang langkah yang difikirkannya perlu mengenai pengisytiharan darurat dan Ordinan Darurat.

Hal ini berdasarkan resolusi yang disahkan semalam oleh anggotanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia yang ke-75.

Presiden Badan Peguam Malaysia yang baru dilantik, AG Kalidas menjelaskan kemudian bahawa langkah-langkah itu boleh merangkumi proses prosiding undang-undang berkaitan bagi pihak badan tersebut.

"Mengenai usul yang telah diluluskan hari ini, bersangkutan proklamasi (darurat) dan juga ordinan berkaitan, Badan Peguam Malaysia telah memberi mandat kepada kami untuk memulakan tuntutan undang-undang berhubung perkara ini atau melakukan apa yang perlu.

"Oleh itu, Badan Peguam Malaysia berpendirian akan membawa hal berkenaan melalui saluran yang betul.

"Kemungkinan besar, maksud saya kemungkinan besar, akan ada tuntutan di mahkamah yang akan dimulakan oleh Badan Peguam Malaysia," katanya pada sidang media di Wisma Badan Peguam di Kuala Lumpur.

Kalidas (gambar, bawah) berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Badan Peguam Malaysia mengenai ketakutan mengenai Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

Ordinan darurat itu berkuat kuasa semalam untuk mengekang penyebaran "berita palsu" mengenai Covid-19 dan pengisytiharan darurat .

"Saya tidak (hanya) menyentuh ordinan kedua, kami akan menyebutnya ordinan nombor dua. Bukan itu sahaja, tetapi pada dasarnya, Badan Peguam Malaysia percaya dengan kebebasan bersuara.

"Sudah tentu, ada batasan kebebasan bersuara dan kami juga percaya hal itu. Anda tidak boleh menuduh sesuatu yang tidak benar," kata Kalidas.

"Kami tahu batasannya tetapi kami percaya bahawa rakyat mesti dibenarkan bersuara," tambahnya.

Ordinan untuk mengekang 'berita palsu' itu menimbulkan kebimbangan akan memberi kuasa luas kepada kerajaan.

Pun begitu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah semalam berkata ordinan berita palsu bukan untuk menyekat kebebasan media dan menghalang mana-mana pihak mengkritik kerajaan.

Sebaliknya dia menegaskan, ia dilaksanakan untuk memerangi berita palsu berkaitan Covid-19 dan perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan, ketika ini.

Peraturan baru yang berkuat kuasa pada 12 Mac itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan, selepas sabitan.

Ordinan itu memberi takrifan ‘berita palsu’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain, yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Sementara itu, semalam Badan Peguam Malaysia juga meluluskan beberapa resolusi lain berkaitan dengan usul tersebut.

Salah satunya adalah Ordinan Darurat, termasuk seksyen 14 dan 15, tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Selain memulakan tuntutan undang-undang, Majlis Peguam juga diberi mandat untuk mencabar keabsahan proklamasi darurat, Ordinan Darurat dan apa-apa ordinan berikutnya.

Tindakan undang-undang itu juga akan memohon mahkamah mengeluarkan perintah relief sementara atau relief tetap yang dianggap perlu.

Peguam Malaysia juga meminta kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil sidang parlimen.

Ini katanya supaya perisytiharan darurat, Ordinan Darurat dan ordinan berikutnya dapat dibentangkan sesuai dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac memutuskan bahawa proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata perkara itu diperuntukkan di bawah Artikel 150(8) Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menetapkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat adalah muktamad dan konklusif, dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah walau apa jua alasannya.

Hakim membuat ketetapan itu selepas mengetepikan permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh tiga wakil rakyat untuk mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Tiga wakil rakyat itu terdiri daripada Adun Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub, Adun Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari.

Lihat Komen
ADS