Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ordinan berita palsu bukan untuk sekat media, halang kritik kerajaan'

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang berkuat kuasa semalam, bukan untuk menyekat kebebasan media dan menghalang mana-mana pihak mengkritik kerajaan, tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya dia berkata, ia dilaksanakan untuk memerangi berita palsu berkaitan Covid-19 dan perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan, ketika ini.

“Ada banyak kritikan terhadap ordinan ini dan saya ingin beri penjelasan, yang tuduh kerajaan sekat kebebasan akhbar, sebenarnya tidak sama sekali kerana ordinan ini merujuk kepada berita palsu dalam dua isu sahaja iaitu Covid-19 dan darurat.

“Kami akan bezakan antara kritikan kepada kerajaan dengan berita palsu, yang kita nak ambil tindakan ini berita palsu. Jadi saya harap semua orang termasuk ahli politik hargai apa yang kami lakukan, seandainya nak kritik menteri sebagainya, itu hak mereka dan pandai-pandai kami menjawab,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Saifudin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program E-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota dan Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Pelajar Sekolah di Dewan Atabara, Kuantan.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan, selepas sabitan.

Ordinan turut memberi definisi ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain, yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Mengulas mengenai program hari ini, Saifuddin berkata menerusi projek rintis E-Tuisyen pelajar di kawasan parlimen itu, dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian di pusat internet komuniti dengan penglibatan 15 orang guru yang mengajar pelbagai subjek.

Projek dengan kerjasama MSD Innovation Sdn Bhd itu, dijangka bermula sepenuhnya pada April ini dan akan memanfaatkan lebih ramai pelajar sekolah di kawasan parlimen itu.

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan 100 tablet kepada pelajar sumbangan daripada MYNIC Berhad dan Huawei.

-Bernama

Lihat Komen
ADS