Anwar: Apa kerajaan buat untuk yakinkan kumpulan antivaksin?
Ketika proses pemberian vaksin Covid-19 terus berjalan dan pada masa sama pendaftaran dipergiatkan, Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta Putrajaya menjelaskan beberapa perkara mengenai isu tersebut.
Misalnya Anwar bertanya suatu "gerombolan" yang dilihat tidak cenderung untuk mendapatkan vaksin bagi menghadapi ancaman Covid-19.
"Apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan gerombolan antivaksin memandangkan ianya tidak wajib?" katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Persoalan Anwar itu dibuat merujuk kepada segelintir orang yang enggan disuntik dengan vaksin Covid-19 atas pelbagai alasan.
Ketua pembangkang itu juga bertanya sama ada kerajaan sudah mengenal pati atau memikirkan kaedah untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya mengambil vaksin.
"Saya percaya ia sepatutnya diurus dengan lebih baik dan cekap. Isu-isu penting sekitar hal vaksin ini harus segera didepani.
"Sebagai contoh, masalah kesedaran tentang pentingnya vaksin ini dan juga hal-hal lain yang melibatkan proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera perlu ditangani dengan segera dan diberi keutamaan," katanya lagi.
Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson menambah sebelum ini kerajaan ada menyatakan pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan mengenai pembuatan bahan itu jika mahu bekerjasama dengan Malaysia.
Justeru, katanya, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin itu akan dibangunkan.
"Mengapakah universiti-universiti tempatan serta badan-badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin?
"Kita punya pengalaman dalam membangun penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita punyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin," katanya.

