Kes cabul anak: Suspek bergelar 'Datuk Seri' didakwa pada 22 Mac
Seorang suspek yang bergelar 'Datuk Seri' akan dituduh di mahkamah atas dakwaan mencabul anak kandungnya.
Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata bahawa suspek akan dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Mac ini.
"Pertuduhan ke atas suspek akan dilaksanakan pada 23 Mac 2021, jam lebih kurang 10.00 pagi di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan.
"Perintah Perlindungan (PO) juga akan dipohon selepas pertuduhan dilaksanakan bagi melindungi mangsa dan adik-beradik mangsa daripada sebarang gangguan oleh suspek.
"Sebelum ini, mangsa menolak untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) kerana IPO ini hanyalah untuk diri mangsa sahaja," katanya.
Ini selepas, semalam kakak kepada mangsa meminta polis memberi perintah perlindungan sementara kepada mangsa dan dua adik beradik mendakwa menerima ancaman daripada bapanya.
Peguam mangsa, K Ganesh turut mempersoal kelewatan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara membuat pertuduhan terhadap suspek.
Bagaimanapun, Saiful menafikan dakwaan bahawa proses pertuduhannya mengambil masa yang lama.
"Kejadian jenayah cabul ini telah berlaku sejak tahun 2010 (10 tahun yang lalu) sehingga awal tahun 2021.
"Pada hari yang sama, Kertas Siasatan telah dibuka oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur.
"Oleh kerana kes ini telah berlaku dalam jangka masa yang panjang, siasatan yang teliti dan menyeluruh telah dijalankan dan mengambil masa untuk dilengkapkan," katanya.
Tambahnya, suspek dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, pada 14 Januari 2021, pihak Polis telah menerima laporan daripada wanita warganegara tempatan berusia 20 tahun mendakwa telah dicabul oleh bapa kandungnya sendiri berusia 48 tahun.

