Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib sindir, KJ jawab: Saya dan Datuk Seri tahu itu bukan sebabnya
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 1:46 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoal apakah tindakannya memberi laluan kepada petugas hadapan untuk menerima suntikan vaksin menjadi satu kesalahan.

Najib berkata demikian sebagai menjawab kritikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang mendedahkan Najib membatalkan temu janji suntikan vaksin yang ditetapkan pada 6 Mac lalu.

"Entahlah...Orang lain boleh memberi laluan kepada frontliners (petugas barisan hadapan) untuk dapat vaksin Covid-19 dulu tapi saya tak boleh pulak.

"Mungkin saya perlu buat sidang media terlebih dahulu kot," katanya dalam satu hantaran bernada sinis di Facebooknya, hari ini.

Mengiringi hantaran tersebut ialah beberapa tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan dibuat Khairy bahawa ahli parlimen Pekan itu membatalkan temu janji vaksinasi ditetapkan di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

Menjawab satu hantaran dimuat naik Najib di Facebooknya hari ini Khairy berharap bekas perdana menteri itu dapat hadir pada tarikh temu janji yang akan ditetapkan sekali lagi nanti.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri yang sentiasa memberi teguran dan pandangan menerusi hantaran Facebook Datuk Seri untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Pada masa sama, saya berharap Datuk Seri dapat membantu menggalak pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di Pekan, memandangkan buat masa ini, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah itu yang telah mendaftar.

“Jangan tulis dan promosi di FB sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran," katanya.

Sementara itu dalam reaksi segera Khairy kepada hantaran Najib, dia menulis di ruangan komen: "Saya dan Datuk Seri tahu, itu bukan sebabnya."

 

Lihat Komen
ADS