Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bila Agong beri pandangan begitu maknanya pendirian k'jaan tak tepat'
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 2:07 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Pembangkang berpendapat kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung isu penggantungan parlimen menunjukkan pendirian kerajaan adalah "tidak tepat".

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata hal itu dibincangkan dalam pertemuan ahli parlimen hari ini.

Menurut Anwar sebelum ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah memberi pandangan bahawa darurat tidak menghalang parlimen untuk bersidang dan baginda hanya menunggu keputusan perdana menteri.

"Kalau kita tahu kaedah perlembagaan dan institusi negara, apabila Agong memberi pandangan begitu, maknanya ia memberi gambaran jelas bahawa pandangan kerajaan untuk menggantung parlimen adalah tidak tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang di parlimen untuk membincangkan pelbagai perkara.

Isu membuka parlimen untuk bersidang terus membayangi kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika satu demi satu sektor ekonomi dan sosial kembali dibuka kepada orang ramai.

Untuk rekod desakan itu bukan saja dibuat parti pembangkang malah turut disuarakan dengan lantang dalam kalangan ramai pemimpin Umno.

Agong juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan pandangan Istana Negara bahawa sidang parlimen boleh diadakan dan Agong hanya menunggu nasihat daripada Muhyiddin untuk melaksanakannya.

Myanmar boleh tegur PM

Bagaimanapun belum ada sebarang tanda menunjukkan kabinet bercadang untuk memanggil sidang parlimen. Malah semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberikan justifikasi berkenaan penggantungan parlimen sekarang.

Kata Takiyuddin semasa negara berada dalam darurat selama kira-kira dua tahun mulai pertengahan 1969 lalu, parlimen juga tidak bersidang.

Pada masa sama kerajaan Muhyiddin terus dibayangi dakwaan ia tidak mendapat dukungan majoriti dalam kalangan ahli parlimen dan ia dianggap menjadi punca sidang parlimen tidak diadakan.

Menurut Anwar mesyuarat hari ini juga berpendapat tiada asas munasabah untuk mengisytiharkan darurat terutama apabila ia melibatkan penggantungan parlimen.

Keadaan itu kata presiden PKR itu lagi meletakkan Malaysia sama seperti Myanmar yang kini ditadbir oleh junta tentera.

"Maka apabila perdana menteri menegur Myanmar, sepatutnya Myanmar (pula boleh) tegur perdana menteri sebab tidak memiliki alasan munasabah menggantung parlimen," katanya.

Sementara itu menurut Anwar isu lain yang turut dibincangkan hari ini ialah mengenai pengambilan vaksin Covid-19 serta kadar pengangguran yang semakin serius.

Kata presiden PKR itu lagi angka-angka yang diberikan kerajaan mengenai situasi semasa pengangguran hanyalah untuk melunakkan orang ramai sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Pembangkang juga katanya membincangkan isu pendidikan yang "haru-biru" kesan daripada keputusan dibuat secara tergopoh-gapah, termasuk membabitkan kekangan peranti untuk pelajar.

Lihat Komen
ADS