Malaysiakini
BERITA

Zahid sedar muslihat dan helah 'broker' dalam Umno

Diterbitkan

Walaupun suasana dalaman 'rumah tangga' Umno ketika ini dilihat bergelora, Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli parti itu diminta tidak terlalu bimbang sebaliknya tetap tenang.

Kata presiden Umno itu, di sebalik pelbagai spekulasi dan perkembangan yang berlaku dia tetap sedar mengenai kewujudan “broker” dalam parti berkenaan.

Menurut ahli parlimen Bagan Datuk itu, ada segelintir ahli Umno menyuarakan rasa khuatir kepadanya selaku presiden Umno yang mungkin tidak sedar akan rancangan pihak “broker” terbabit.

Namun Ahmad Zahid dia sebenarnya cukup sedar akan kewujudan dan rancangan "broker" berkenaan malah segala muslihat dan helah mereka berada dalam radarnya.

“Seperti saudara saudari, saya juga tahu dan sedar apa yang sedang 'broker' rancangkan. Muslihat serta tipu daya mereka, segala hipokrasi dan helah dalam pemantauan dan radar," katanya dalam media sosial.

Tambah Ahmad Zahid "broker" terbabit tidak ramai jumlahnya namun apa yang mereka lakukan ke atas Umno sangat tidak boleh diterima.

Pada masa sama dia berkata, apa yang sedang berlaku itu akan dihadapi sebaik mungkin.

“[...] Saya alert. Saya malah alert semakin galak persepsi negatif diilustrasikan ke atas saya.

“Tetapi demi keutuhan parti keramat bangsa dan agama saya mendepani cabaran ini secara berhemah,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Ahmad Zahid merupakan sebahagian tokoh Umno yang dijuluk dengan gelaran kluster mahkamah - merujuk pemimpin parti itu yang berdepan pertuduhan di mahkamah.

Mereka dilihat cenderung untuk mengetepikan Bersatu - yang diasaskan oleh bekas pemimpin Umno sendiri - malah sesetengahnya didakwa memberikan ikrar sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim agar dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Umno tak boleh digadai

Di sebalik keputusan Majlis Tertinggi Umno itu, Umno Perlis dan Sabah pula sebaliknya menyatakan rancangan mereka untuk mengekalkan hubungan tersebut.

Usaha menamatkan kerjasama dengan Bersatu itu turtu ditentang sebahagian pemimpin Umno termasuk kalangan yang digelar "kluster menteri".

Dalam keadaan begitu Ahmad Zahid membalas label yang ditujukan kepadanya dengan menyifatkan "kluster mahkamah" itu sebenarnya benteng barisan pertahanan terakhir buat Umno.

Sedangkan, katanya, “kluster kuasa” dan “kluster broker” pula masing-masing takut kehilangan kuasa dan jawatan mereka dalam kerajaan.

Umno Ketereh juga akan menghantar surat kepada Ahmad Zahid, antara lain bagi menyatakan sokongan untuk Umno terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Untuk rekod ahli parlimen Ketereh ialah Annuar Musa iaitu salah seorang watak utama yang secara lantang mahukan Umno kekal bersama Bersatu dan 'menyerang' Ahmad Zahid melalui kenyataan atau hantaran media sosialnya.

Ahmad Zahid berkata Umno bukanlah milik pihak tertentu dan boleh dijual beli oleh kumpluan yang mahukan jawatan atau kedudukan.

“Umno tidak boleh digadai. Umno bukan alat untuk tawar-menawar jawatan atau kedudukan sesiapa.

“Umno sama sekali tidak akan melukut di tepi gantang hanya kerana hujah-hujah bermuka dua,” katanya lagi.

Hari ini Malaysiakini melaporkan ahli MT Umno yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin menyifatkan Ahmad Zahid mungkin mempunyai senjata rahsia sehingga yakin untuk berpisah daripada Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.