mk-logo
Berita
Umno Perlis akan terus setia bersama pimpinan pusat - Shahidan
Diterbitkan:  Mar 20, 2021 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Umno Perlis akan terus setia bersama dengan pusat dan tidak pernah bercadang untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat, kata pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti malah mempunyai hubungan akrab dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan terus setia bersama dengan Umno pusat.

“Kami (Umno Perlis) akan terus berpegang dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno sebelum ini iaitu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Semalam, media melaporkan Umno Perlis akan memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang dijadualkan akhir bulan ini.

Sementara itu, Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, berkata Umno Perlis terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan melanggar perjanjian yang dibuat oleh Umno ketika penubuhan kerajaan PN dahulu.

“Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin...saya juga berkerjasama dengan PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana saya adalah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC),” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata buat masa ini Umno Perlis tidak akan mencadangkan apa-apa usul pada PAU 2021 memandangkan belum menerima sebarang arahan daripada Umno pusat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS