mk-logo
Berita
Polis siap siaga tingkat kawalan, risiko tindak balas Korea Utara

Polis bersiap siaga berhubung risiko ancaman Korea Utara yang mengatakan Malaysia ‘akan menerima akibat’ kerana mengekstradisi seorang rakyat negara itu ke Amerika Syarikat.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sentiasa waspada daripada semua aspek.

Jelasnya, ini melibatkan kawalan-kawalan keselamatan "di lokasi-lokasi sensitif, sehingga satu masa cukup selesa sehingga tiada lagi risiko."

"Dengan Korea Utara, kami sentiasa mengambil pendekatan untuk berhati-hati. Sebab banyak kejadian-kejadian mengaibkan dengan negara tersebut.

"Sebenarnya, apa yang berlaku baru-baru ini bukan kerana kita ingin bermusuhan dengan mereka, tetapi Korea Utara sendiri yang memutuskan untuk putuskan hubungan sebab ekstradisi itu.

"Kena faham bahawa ada (proses) undang-undang yang terlibat dan kita bukan bertindak sesuka hati.

"Tapi, kalau dia tak puas hati dengan apa yang berlaku, mereka boleh bawa ke PBB dan sebagainya.

"Kita hati-hati berkemungkinan berlaku sesuatu yang tak baik.

"Saya sudah mengingatkan semua ketua polis negeri untuk memantau situasi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur menutup premisnya selepas memutus hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Konsulat kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song (gambar, atas) memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat republik itu.

Malaysia mengekstradisi rakyat Korea Utara Mun Chol Myong ke Amerika Syarikat atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan semalam, Yu Song berkata, 'Malaysia akan menerima akibat' daripada tindakan yang dilakukan.

Kata Kim, insiden itu telah menjejaskan kedaulatan negaranya.

“Kejadian ini adalah hasil nyata dari konspirasi anti-Korea Utara yang dibuat daripada 'dasar keji' oleh Amerika Syarikat," kata Yu Song, lapor media tempatan.

Lihat Komen
ADS