Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas 2 pengerusi lompat, MP Miri wakili PKR dalam PH Sarawak
Diterbitkan:  Mar 24, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Ahli Parlimen Miri daripada PKR, Michael Teo Yu Keng dilantik sebagai timbalan pengerusi PH Sarawak, jawatan yang lazimnya dipegang pengerusi PKR negeri.

Namun dua pengerusinya sebelum ini telah keluar parti itu. Pertama, Baru Bian yang menyertai Parti Bersatu Sarawak, disusuli penggantinya Larry Sng yang menukar sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) bulan lalu.

Kerusi pengerusi PKR Sarawak kini kosong dan PKR Sarawak kini dipimpin "majlis penasihat" untuk sementara waktu.

Setiausaha publisiti PH Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh mengumumkan pelantikan Teo hari ini.

Sementara itu, Abang Abdul Halil Abang Naili daripada Amanah pula dilantik sebagai timbalan pengerusi II.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kekal sebagai pengerusi PH Sarawak.

Zulkifli berkata struktur PH Sarawak dikemas kini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa, sebaik saja perintah darurat ditamatkan.

Selain itu, dia berkata PH Sarawak juga menubuhkan beberapa biro antaranya Biro Land Reform dan Biro Perkhidmatan Awam yang masing-masing diketuai oleh Joshua Jabeng dan Leon Donald.

Lihat Komen
ADS