'Undi 18 boleh dilaksanakan melalui sistem sedia ada'
Kerajaan digesa tidak menangguhkan pendaftaran pemilih automatik bagi menafikan hak golongan muda berusia 18 tahun untuk mengundi.
Persatuan Pengundi Muda atau lebih dikenali sebagai Undi18, berkata golongan muda berumur 18 tahun boleh didaftarkan sekarang tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.
"Kami percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengambil lebih banyak masa untuk mempersiapkan pelaksanaan pendaftaran automatik jika perlu.
"Namun, mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun mesti diberi hak untuk mendaftar sebagai pengundi dengan segera, sesuai dengan garis masa asal untuk melaksanakan Undi 18," kata mereka dalam kenyataan malam ini.
Mereka juga menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen untuk menurunkan had usia mengundi, yang turut disokongnya pada tahun 2019.
Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan agar Undi18 dilaksanakan pada tahun 2019.
Sebelum ini, SPR berkata pihaknya menangguhkan pelaksanaan pendaftaran Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik hingga September tahun depan, meskipun Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan mengatakan ia akan dilaksanakan pada Julai.
SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan persiapan untuk menurunkan had usia mengundi.
Pengkritik bagaimanapun berpendapat tiada sebab bagi sistem pendaftaran pemilih sedia ada tidak boleh diperluas kepada mereka yang berusia 18 tahun.
Di bawah sistem semasa, mereka yang berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar sebagai pemilih secara manual, seperti di pejabat pos, atau melalui laman web Daftar MySPR.
Menurut SPR, terdapat kira-kira 1.2 juta golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun.
Sementara itu, Undi 18 dan parti Muda merancang untuk membawa isu itu ke mahkamah bagi memaksa kerajaan mewartakan dan melaksanakan Undi 18.
Pengasas bersama kumpulan Undi18, Qyira Yusri memberitahu Malaysiakini bahawa mereka merancang untuk mendapatkan perintah mandamus dari mahkamah.
Peguam New Sin Yew menjelaskan jika tuntutan itu berjaya, kerajaan perlu mewartakan Undi 18 dan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia mengundi.
-

