Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengusaha bas gesa wajibkan skim rehabilitasi pada syarikat kredit

Gabungan Bas Malaysia yang mewakili lebih 14,000 pengusaha bas di seluruh negara menggesa kerajaan mewajibkan semua syarikat pemberi pinjaman kredit menyertai tawaran skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi.

Setiausahanya Thiagarajan Renganathan berkata bahawa kebanyakan syarikat pinjaman kredit tidak mahu menyertai skim itu, yang diperkenalkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (Permai).

"Skim ini diumumkan di mana kerajaan menjamin sebanyak 50 peratus ke atas pinjaman yang disediakan kepada pengusaha-pengusaha bas daripada syarikat pinjaman kredit

"Namun, isunya di sini, ia tidak mewajibkan syarikat pinjaman kredit untuk menyertainya, mengakibatkan ramai pengusaha bas tidak dapat bermanfaat melalui skim ini."

"Kami meminta kerajaan agar mewajibkan semua syarikat pinjaman kredit perlu menyertainya," katanya dalam sidang media di Bandar Tun Raza , Kuala Lumpur, hari ini.

Skim itu diperkenalkan selepas peminjam daripada syarikat pinjaman kredit tidak layak mendapat moratorium bayaran balik semasa pandemik Covid-19.

Skim yang diumumkan pada Januari lalu masih belum dilancarkan dan hanya syarikat pinjaman kredit boleh memohon untuk menyertai skim ini.

"Ini yang menyusahkan. Hanya syarikat pinjaman kredit yang layak untuk memohon.

“Sekiranya, mereka tidak mohon, maka kami tidak dapat moratorium," katanya.

Sementara itu, Thiagarajan meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar mempercepatkan pemberian program subsidi upah (PSU) yang diumumkan pada Belanjawan tahun 2021.

"Walaupun, diumum pada Disember dan kami telah pun memohon untuk bantuan tetapi program ini masih tidak dilaksanakan.

"Ini menyebabkan para pemandu dan pekerja marah terhadap pengusaha bas.

"Mereka anggap kami (majikan) sengaja melambatkan atau menyembunyikan duitnya.”

“Harap Perkeso mempercepatkan proses salurkan duit itu kepada mereka,” katanya.

PSU diumumkan pada Disember tahun lepas bantuan RM600 kepada pekerja industri pelancongan termasuk pemandu teksi.

Lihat Komen
ADS