Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sejak dibentuk pada 2016, perjalanan Warisan sebagai sebuah parti politik menyaksikan turun naik.

Parti itu dipilih menerajui kerajaan negeri di Sabah hampir dua tahun kemudian, sebelum hilang kuasa pada pilihan raya negeri pada bulan September tahun lalu.

Walaupun dilihat masih terkesan dengan kekalahan itu, peristiwa baru-baru ini menunjukkan bahawa parti itu kini menyasarkan cabaran lebih besar.

Pada 24 Mac, Presiden Warisan Shafie Apdal menyiarkan klip video di laman Facebooknya dengan tajuk "Jangan pernah putus asa".

Video berdurasi tiga minit itu diselingi dengan adegan pelbagai bangsa dan etnik rakyat Malaysia dengan latar belakang Kuala Lumpur dan markas Warisan, Sabah.

Pada satu ketika, kamera kemudian merakam pemandangan ibu kota sebelum kita melihat Shafie, duduk di depan bendera Malaysia dan Sabah, memberi tahu rakyat Malaysia mengenai perpaduan dan kegigihan.

Ia diakhiri dengan pemandangan tempat-tempat terkenal di seluruh negeri di Malaysia.

Ketika kamera menghadap Menara Berkembar Petronas, video akhirnya berakhir dengan Shafie mengatakan, "Satu negara, satu tujuan, kepaa Tuhan kita letakkan keyakinan, kita mesti bersatu."

 

Shafie telah menyiarkan video yang sama pada 28 Disember tahun lalu sebagai pesanan Tahun Baru.

Namun, klip video itu menarik perhatian pabila mengambil kira ketidaktentuan situasi politik di Semenanjung Malaysia dan kemungkinan pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Seorang pemerhati Malaysia Timur yang terkenal dan ahli akademik University of Tasmania, James Chin, adalah salah seorang yang percaya bahawa Shafie menggambarkan Warisan akan mengembangkan sayap ke Semenanjung.

Dengan gabungan kerajaan Perikatan Nasional-BN yang dalam keadaan berpecah dan pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang dilihat 'keletihan', Chin yakin inilah saat yang tepat bagi Warisan untuk mengorak langkah.

"Ini masa terbaik. Kita berada dalam keadaan darurat. Pertubuhan politik Semenanjung terbahagi kepada banyak kumpulan yang berbeza. Ini adalah peluang yang baik untuk bergerak menyeberangi Laut China Selatan," kata Chin kepada Malaysiakini.

Ketika Shafie membentuk Warisan, dia dengan sengaja membentuk parti itu sebagai berpusat di Sabah, menolak untuk secara rasmi menjadi sebahagian daripada gabungan pembangkang PH yang berpusat di Kuala Lumpur.

Warisan mendapat manfaat daripada sentimen wilayah apabila menentang gabungan BN yang berpusat di Kuala Lumpur semasa pilihan raya 2018. Bagaimanapun Warisan goyah semasa pilihan raya negeri 2020 ketika pengundi menyokong gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru.

James Chin

Dua parti utama dalam GRS - Bersatu dan Umno - kedua-duanya beribu pejabat di Lembah Klang.

Chin menjelaskan bahawa wajar bagi parti politik bersikap pragmatik mengenai kemungkinan semangat kewilayahan berpusat di semenanjung.

"Pada mulanya, mereka ingin meluaskan sayap ke Sarawak terlebih dahulu, tetapi saya rasa mereka telah mengkaji semula cita-cita mereka sejak kerajaan (negeri) diganti pada bulan September, jadi sekarang mereka akan cuba meluaskan sayap ke semua negeri.

"Anda tidak boleh menjadi parti dengan semangat wilayah dan cuba menawan kerajaan persekutuan. Agar anda dianggap serius oleh pertubuhan politik di Tanah Melayu, anda harus dapat menunjukkan bahawa anda dapat menarik sokongan politik dari kedua belah pihak (Malaysia Timur dan Semenanjung)," kata Chin.

Jenama politik baru

Cita-cita politik peringkat nasional Shafie bukan rahsia. Dia pernah menjadi ahli Umno dengan jawatan yang tinggi sehingga 2017. Dia juga pernah dinamakan sebagai calon perdana menteri di kalangan beberapa ahli parlimen pembangkang.

Penyelidik Agora Society dan penduduk asli Sabah, Esther Siniran Chong berkata, Warisan, walaupun berpusat di Sabah, tetap konsisten dalam misi yang dinyatakan untuk menjalin hubungan antara etnik dan agama yang lebih baik melalui mesej, tindakan dan barisan kepemimpinan mereka.

Nilai-nilai ini, kata Chong, kemungkinan akan bergema di beberapa bahagian lain di Malaysia juga dan oleh itu tidak perlu membatasi pasaran mereka di Sabah.

“Mereka (Warisan) mempunyai ahli orang Islam, orang asli Kristian, orang Cina dan banyak lagi. Ia hampir seperti BN dalam skala kecil. Imej yang mereka bawa ke Semenanjung sangat menarik bagi sesetengah orang.

"Ia nampak seperti parti yang sangat harmoni - tidak kira apa jenis bangsa anda, yang penting anda rakyat Malaysia," kata Chong.

Tidak ada parti lain yang berpangkalan di Sabah yang mempunyai kelebihan itu untuk meluaskan sayap ke Sabah, kata Chong.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking

Ketika dihubungi, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking memberitahu Malaysiakini bahawa mungkin ada berita "positif" mengenai perkembangan parti itu dalam tempoh sebulan ini.

"Saya rasa datang (ke Semenanjung) sudah jelas. Cuma ada beberapa perkara teknikal yang perlu kita selesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Ada banyak tanggapan, sebenarnya banyak yang ingin bergabung, tetapi mari kita lakukan ini dengan baik. Mengetahui Shafie dan budaya politik kami, kamitidak akan terburu-buru. Kami suka melakukan sesuatu dengan betul.

"Saya rasa pada bulan berikutnya, kita seharusnya dapat mendengar sesuatu yang sangat positif, atau kurang dari satu bulan," kata Leiking.

Namun, ketika ditanya apakah ada minat dari anggota parlimen Semenanjung Malaysia untuk bergabung dengan Warisan, Leiking menyatakan bahawa mereka tidak memikat sesiapa untuk menyertai Warisan.

Dia juga menjelaskan Warisan kini ingin meluaskan sayap ke seluruh negara kerana mereka ingin membawa jenama politik mereka.

“Orang melihat perbezaan dalam jenis politik kami, lebih-lebih lagi di Sabah. Dalam kes kami, bagi saya ketika melihat Warisan, ini adalah gabungan semua kaum di Sabah, dengan banyak penyokong di Semenanjung Malaysia.

"Kami ingin membawa sesuatu yang bernilai, dengan itu bekerjasama dengan Muda (Ikatan Demokratik Malaysia) juga mempunyai nilai tambah untuk mewakili pandangan anak muda terhadap politik baru di Malaysia," katanya.

Muda dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah antara dua parti politik yang belum didaftarkan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai wakil rakyat di parlimen.

Pengasas bersama Muda Mutalib Uthman semalam dipetik mengatakan bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Warisan untuk membantu parti itu berkembang ke Semenanjung Malaysia tetapi menekankan bahawa perbincangan masih di peringkat awal.

Sementara itu, pengasas bersama Pejuang Dr Mahathir Mohamad semalam mengatakan pihaknya mahu menjadi "kuasa ketiga" dalam pilihan raya akan datang dan sedang mencari sekutu.

Lihat Komen
ADS