Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Politik benci jadi ciri terbaru Umno, dakwa Annuar
Diterbitkan:  Mar 27, 2021 11:59 AM
Dikemaskini: Mar 28, 2021 11:23 AM

PAU 2020 | Sejak dari awal, Annuar Musa adalah tokoh Umno utama yang mempertahankan kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Hari ini, ketika bermulanya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang mungkin akan memuktamadkan keputusan itu, bekas Setiauasaha Agung BN itu sekali lagi melancarkan kritikan terhadap partinya.

Annuar menyifatkan "politik benci" sudah mula menjadi batu tanda baru buat parti itu dengan mendakwa pihak-pihak tertentu "mereka-reka cerita untuk menanam benci sesama sendiri".

"Padahal inilah PAU yang paling selamat, keputusan sudah ditentukan...Insya-Allah inilah perhimpunan paling tersusun dan paling pendek.

"Sepatutnya tak perlulah sampai mereka-reka cerita untuk menanam benci sesama sendiri. Namun politik benci sudah mula menjadi trademark baru bagi parti," dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar mendakwa PAU 2021 sudah pun ditentukan dari awal, termasuk senarai pembahas sehinggalah keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.

"Perwakilan dengar saja di bahagian masing-masing... Jurucakap yang dipilih sudah digantikan. Hanya orang yang dilantik presiden (Ahmad Zahid Hamidi) boleh bercakap.

"Usul MT untuk meluluskan ucapan dasar presiden hanya boleh dibahas ahli MT saja. Matlamatnya adalah untuk sokong (dan) semua senada... Bermakna MT lebih tinggi daripada PAU walaupun perlembagaan parti menyatakan sebaliknya," dakwa Annuar dalam kenyataan hari ini.

Malah, dia mendakwa serangan dilancarkan di internet untuk memburuk-burukkan mana-mana pemimpin parti yang berbeza pendapat, seperti Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim dan Ketua Wanita Noraini Ahmad.

Kesemua nama yang dibangkitkannya itu sama ada menteri persekutuan atau pemimpin yang dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

Hubungan Umno dengan Bersatu - parti utama dalam gabungan pemerintah - kini dilihat retak menanti belah. 

Sudah mula kelihatan sejak tahun lalu, ia memburuk selepas 189 daripada 191 bahagian Umno padal Januari lalu dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Pada masa sama, PAS yang memeterai Muafakat Nasional (MN) dengan Umno berada dalam PN dan menegaskan ketiga-tiga parti itu perlu terus bekerjasama.

Menjawab dakwaan Annuar tersebut, Najib Razak berkata presiden sememangnya berhak untuk menentukan pembahas dalam PAU.

"Itu hak presiden...Apa-apa pun kalau tak bersetuju, kita kena terima hakikatnya presiden ada kuasa untuk menentukan pembahas-pembahas," kata bekas presiden Umno itu ketika ditemui di PWTC.

'Jika tersalah formula'

Annuar sekali lagi menegaskan pendiriannya iaitu Umno perlu menyertai PRU sebagai kerajaan dan fokus kepada apa yang disifatkannya sebagai kepentingan orang Melayu dan Islam, pada masa sama konsisten menolak PH khususnya Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

"Umno perlu terus bersikap terbuka dan bijaksana berunding sehingga saat akhir... Umno perlu mengelak menjadi parti yang semakin berpecah kerana ini akan menghancurkan parti.

"Umno mesti terus memparagakan nilai kepimpinan yang berkualiti nasional dan antarabangsa serta diyakini untuk menakhodai negara," katanya.

Dalam kenyataan hari ini juga, Annuar jelas mengkritik pimpinan Umno dengan berkata jika parti itu memilih pimpinan dan formula kemenangan yang salah, ia akan semakin terpinggir dan semakin sukar untuk bangkit semula.

"Terserahlah pada PAU 2021 untuk menentukannya, atau sebenarnya (sebarang keputusan) telah pun ditentukan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS