Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan peruntukan RM500,000 bagi membantu penggiat industri pelancongan di negeri itu yang terkesan susulan penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata bantuan khas secara sekali bayar antara RM500 hingga RM1,000 untuk setiap penerima itu akan diagihkan kepada penggiat seni, pengusaha hotel, pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong.

“Bantuan kepada penggiat industri pelancongan ini adalah bagi meringankan beban dihadapi susulan penularan COVID-19 kerana mereka hanya bergantung kepada pelancong domestik.

“Bagi fasa kedua siri pertama hari ini, kita memperuntukkan RM238,000 yang diagihkan kepada 155 penerima manakala fasa kedua kita akan agihkan pada awal April depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas COVID-19 di Kota Bharu hari ini.

Beliau juga berkata kelonggaran merentas daerah memberikan nafas baharu kepada penggiat industri pelancongan untuk meneruskan perniagaan dan aktiviti pelancongan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Hari minggu seperti semalam kita lihat kebanyakan hotel serta pusat pelancongan penuh dikunjungi oleh pelancong domestik namun apa yang penting, kita perlu mengikuti SOP yang digariskan kerajaan, jika kita rasa demam, batuk atau sakit, jangan berkunjung ke tempat-tempat tersebut,” katanya.

- Bernama