Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Penerangan Wanita Umno pula gesa pemilihan segera

Setelah beberapa tokoh Umno, termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta agar pemilihan parti diadakan segera, Ketua Penerangan Wanita Umno pula tampil membuat gesaan serupa.

Norshida Ibrahim, berkata pemilihan itu perlu diadakan seperti yang dijadualkan bagi membolehkan perpaduan dalam parti dikembalikan.

“Saya setuju dengan kenyataan Khairy mengatakan kita kena adakan pemilihan dalam masa terdekat untuk kita kembalikan semula kemuafakatan di dalam parti.

“Benda itu (pemilihan), kita nak ke tak nak, suka atau tak suka, kita kena buat. Mungkin pihak presiden atau pihak parti boleh memohon untuk kita tangguh, tetapi kita tak tahu apa jangkaan yang akan berlaku.

“Sebab kita ini adalah kerajaan campuran (bukan kerajaan utama). Jadi yang sebaiknya, saya rasa lebih elok kita fokuskan kepada pemilihan untuk kita pilih pemimpin-pemimpin baru.

“Kita mahukan seseorang yang betul-betul berkaliber untuk menjadi ketua kita, pemimpin kita di dalam parti,” katanya kepada media ketika ditemui semalam.

Sebelum ini, beberapa tokoh di dalam Umno, seperti Khairy, Shahidan Kassim dan Annuar Musa membuat gesaan agar pemilihan Umno tidak ditangguhkan, sebaliknya dijalankan mengikut jadual asal, iaitu Jun ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula berkata pemilihan Umno akan dilaksanakan sekiranya tiada pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Bekas presiden Umno, Najib Razak pula berpendapat pemilihan sebelum PRU-15 boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tempoh mandat kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Bagaimanapun, Perlembagaan Umno juga membenarkan Majlis Teringgi (MT) untuk menangguhkan pemilihan bagi tempoh tidak lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Norshida berkata, bagi membolehkan pemilihan diadakan pada Jun ini, cawangan-cawangan sepatutnya sudah boleh menjalankan mesyuarat pada bulan ini bagi menamatkan konflik dalaman dan ketidakpuasan hati di peringkat cawangan.

“Pemilihan ini adalah di tangan perwakilan-perwakilan di setiap cawangan. Kita bagi mandat kepada mereka untuk memilih calon yang kita rasa boleh memegang parti kita,” katanya lagi.

Katanya, pemimpin yang dipilih haruslah boleh membawa suara rakyat dan suara serta kepercayaan anak muda, bagi menarik sokongan golongan itu untuk menyokong Umno.

Sebelum ini, desas-desus timbul bahawa Umno dijangka menangguhkan pemilihan partinya sebagai persediaan mengahadapi PRU-15 yang diramal sesetengah pihak akan berlaku selepas tamat darurat 1 Ogos nanti.

Usul itu dikatakan telah dibawa ke mesyuarat MT pada Februari lalu, namun, keputusan mengenainya dikatakan ditangguhkan sehingga selepas PAU 2020 yang baru melabuhkan tirai Ahad lalu.

Umno dilihat menghadapi kemelut dalaman antara dua kumpulan berhubung hala tuju parti itu.

Ia mencetuskan istilah 'kluster mahkamah' - pemimpin yang berdepan pertuduhan di mahkamah, termasuk presiden Ahmad Zahid Hamidi - dan 'kluster menteri' - yang berada di dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan dikatakakan menyokong kerjasama dengan Bersatu di dalam PN.

Bagaimanapun, PAU 2020 telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan untuk keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada Ahmad Zahid untuk menentukan garis masanya. 

Lihat Komen
ADS