Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KJ: Segera adakan pemilihan Umno tahun ini
Diterbitkan:  Mar 30, 2021 3:05 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Hanya ada satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno iaitu dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, pemilihan Umno perlu dilaksanakan mengikut jadual sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan.

“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas PRU.

“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini,” katanya menerusi Instagram Story hari ini.

Umno kini dilihat menghadapi kemelut dalaman antara dua kumpulan berhubung hala tuju parti itu sehingga tercetusnya istilah 'kluster mahkamah' dan 'kluster menteri'.

'Kluster mahkamah' merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan di mahkamah, termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala 'kluster menteri' membabitkan pemimpin Umno yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahukan parti itu kekal menjalinkan kerjasama dengan Bersatu.

Pada masa yang sama, 'kluster menteri' - yang turut dikaitkan dengan bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa - menentang usaha Umno menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Bagaimanapun, Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini sekali lagi menafikan parti itu mahu mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak.

Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung hujung minggu lalu juga memberikan mandat kepada Zahid untuk menentukan tempoh masa yang sesuai bagi menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Mohamad Hasan baru-baru ini berkata, pemilihan Umno akan dilaksanakan sekiranya tiada PRU tahun ini.

“Kalau PRU tidak ada dalam tahun ini, kita akan adakan pemilihan. Kita sedang meneliti apa akan jadi selepas tempoh darurat tamat. 

"Pada bulan Ogos, kita sudah merancang untuk mengadakan pemilihan di peringkat cawangan. Selepas dua bulan, kita juga akan buat pemilihan di peringkat bahagian dan pusat, serentak di seluruh negara,” katanya seperti dipetik wawancara eksklusif Sinar Harian.

'Perlu dapat mandat yang jelas'

Sementara itu, Khairy yang juga merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi berpandangan, Umno harus menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai sokongan rakyat serta mandat yang jelas.

“Umno mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang mendapat sokongan rakyat. Segerakan pemilihan parti.

“Buatlah perkara yang betul Majlis Tertinggi (MT). Kalian tahu kita tak boleh berterusan begini,” tambahnya.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun.

Kali terakhir parti itu mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018.

Tempoh matang kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021. Jika tiada penangguhan, proses pemilihan perlu dilakukan sebelum Julai 2021.

Lihat Komen
ADS