Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemilik tanah perlu bertanggungjawab isu rumah ibadat sebelum mula pembinaan baru'

Seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini berkata bahawa pihaknya akan berusaha selaraskan syarat 'kebebanan tanah' seperti terdapat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dalam usaha mengekang perobohan rumah ibadat di kawasan Kuala Lumpur.

Kata S Rajah, memperkenalkan syarat tersebut di DBKL akan memastikan pemilik tanah tidak boleh lari daripada tanggungjawab dalam memastikan pemindahan rumah ibadat dan premis lain di tanah miliknya.

"Buat masa ini, Pejabat Tanah dan Galian mempunyai satu syarat yang dikenali sebagai 'kebebanan tanah' di mana syarat itu memastikan pemaju tanah perlu bertanggungjawab terhadap surau, rumah ibadat atau premis lain yang berada di atas tanahnya semasa tanah itu dibeli.

"Semasa pemaju membeli tanah daripada PTG, syarat ini dimasukkan dalam akujanjinya. Di bawah syarat ini, pemilik atau pemaju tanah perlu menyelesaikan isu tanah surau atau rumah ibadat yang berada di atas tanah sebelum membuat pembinaan baru.

"Jadi, saya bercadang DBKL perlu selaraskan syarat seumpamanya di bawah Perintah Pembangunan (Development Order) supaya memastikan tidak lagi berlaku perobohan surau atau rumah ibadat bukan Islam di Wilayah Persekutuan pada masa depan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas insiden perobohan kuil di Segambut yang ditangguh pagi tadi selepas pihak kuil mendapat perintah mahkamah untuk penangguhan.

Rajah yang juga Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan mendakwa bahawa kebanyakan pemilik tanah mengambil jalan mudah dengan mengambil perintah mahkamah dan merobohkan rumah ibadat menyebabkan ketegangan antara kerajaan, ahli politik, DBKL dan pihak penguat kuasa dengan pengunjung rumah ibadat itu.

"Merobohkan bukan satu penyelesaian. Perlu ada situasti menang-menang bagi kedua-dua pihak.

"Jika DBKL bersetuju menyelaraskan syarat ini tertakluk dengan undang-undang sedia ada, maka, saya percaya isu perobohan rumah ibadat mungkin dapat diselesaikan.

"Saya akan membawa cadangan ini pada mesyuarat lembaga yang akan datang," katanya.

Untuk rekod, pagi tadi, Kuil Om Sri Maha Maduraiveeran, Segambu terlepas daripada dirobohkan selepas pihak kuil mendapat perintah penagguhan dari mahkamah.

"Kuil itu sepatutnya dirobohkan 9 pagi. Namun, kami berjaya mendapat perintah mahkamah 8 pagi. Namun, perintah penangguhan itu hanya untuk seminggu sahaja.

"Jadi, isu perobohan akan berulang pada minggu depan," kata seorang wakil pihak kuil yang enggan namanya didedahkan.

Pihak kuil berkata kuil itu berasal dari Ladang Segambut Bukit Hijau dan didakwa berusia hampir 100 tahun.

Sementara itu, Rajah berkata bahawa MIC Wilayah Persekutuan menyerahkan isu ini kepada Jawatankuasa Rumah Ibadat bukan Islam yang diketuai oleh timbalan menteri Wilayah Persekutuan Dr Edmund Santhara Kumar.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh timbalan presiden MIC M Saravanan ketika beliau menjadi timbalan menteri Wilayah Persekutuan. Kini ianya di dipengerusikan oleh saudara Edmund.

"Harap, beliau mendapat satu penyelesaian muktamad kepada pihak kuil," katanya.

Lihat Komen
ADS