Persatuan Kristian mahu Pope tarik balik kenyataan
Persatuan Kristian Malaysia mahu ketua Katholik Sedunia, Pope Benedict XVI menarik balik kenyataanya yang menghina agama Islam bagi meredakan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Presiden persatuan itu, Daniel Kang bimbang jika Pope tidak segera menarik balik kenyataannya dan memohon maaf dengan ikhlas dan terbuka, ketegangan agama akan berlaku di seluruh duinia.
"Jika Pope tidak berbuat demikian kita khuatir ketegangan yang sedang berlaku akan berterusan dan tidak mustahil ia akan merebak ke Malaysia," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun katanya, setakat ini kenyataan Pope itu tidak memberi kesan kepada hubungan orang Islam dan Kristian di negara ini.
Dalam pada itu PAS akan membawa usul tergempar ke Parlimen esok berhubung penghinaan Pope terhadap agama Islam itu.
Ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub berkata, usul itu bagi mendesak Pope meminta maaf pada umat Islam terhadap ketelanjurannya menuduh Islam adalah agama keganasan dan Nabi Muhamad s.a.w pula tidak membawa apa yang baru kecuali keganasan.
"Apa yang berlaku sekarang ialah Pope belum memohon maaf dan kami amat kesal kerana beliau nampaknya bersikap sambil lewa dalam isu ini. PAS mahu Pope tahu rakyat Malaysia membantah sikapnya itu," katanya.
Ketegangan agama
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS berkata, Pope sepatutnya sudah mendapat isyarat bahawa umat Islam tidak pernah berkompromi dengan penghinaan terhadap agama mereka.
" Jika Pope terus berdegil sudah pasti ketegangan akan menjadi lebih besar dan sukar dikawal. Adalah tidak wajar seorang pemimpin agama seperti Pope boleh mengeluarkan kenyataan yang jelas sekali akan menimbulkan kemarahan umat Islam,"ujarnya.
Mengulas perkara yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata, sikap dan kenyataan Pope itu menyimpang jauh dari apa yang pernah dibuat dan ditunjukkan oleh Pope sebelum ini.
"Tindakan beliau itu tidak menyumbang ke arah perpaduan antara orang Kristian dan umat Islam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Pope membuat kenyataan sedemikian rupa mungkin kerana latar belakangnya sebagai seorang penyokong kuat gerakan Nazi.
Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam dan penganut Kristian di negara ini bertenang bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid pula berkata, kenyataan itu amat ditunggu-tunggu oleh golongan gereja yang sekian lama mencerugai umat Islam.
"Tidak syak lagi gereja berada di belakang kenyataan Pope itu. Ia merupakan satu provokasi yang sengaja dibuat untuk mencetuskan kemarahan umat Islam.
"Puncanya ialah gereja gagal menarik penganut Islam supaya mengikut ajaran mereka," katanya sebagai mengulas kenyataan Pope dalam satu komen di University of Regensburg, selatan Jerman beberapa hari lalu.
Mohd Azmi juga menasihatkan umat Kristian di Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Pope tersebut kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Katanya, pemimpin negara-negara Islam di seluruh dunia hendaklah bersatu padu dalam menghadapi provokasi yang dibuat oleh puak Kristian terhadap umat Islam.

