Malaysiakini
BERITA

Perbicaraan Adun Tronoh ditangguh, 3 saksi positif Covid-19

Bernama

Diterbitkan

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong berikutan tiga saksi pendakwaan disahkan positif Covid-19.

Hakim Abdul Wahab Mohamed kemudian menetapkan selama lapan hari (23 hingga 25 Jun dan 12 hingga 16 Julai depan) sebagai tarikh menyambung prosiding yang ditangguhkan pada kira-kira 12 tengah hari tadi.

Mahkamah membuat ketetapan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kes ditangguhkan ke tarikh lain kerana tiga orang saksi yang bertanggungjawab ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dikuarantin.

Pengarah Pendakwaan Perak Jamil Aripin berkata ketiga-tiga saksi polis itu bertanggungjawab ke atas rakaman CCTV yang merupakan antara bukti utama pihak pendakwaan.

"Tanpa tiga saksi ini dipanggil, kami tidak boleh memanggil saksi lain untuk menunjukkan rakaman tersebut," katanya.

Abdul Wahab turut menetapkan 28 Mei sebagai tarikh serahan jawapan pihak pembelaan dan keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk dua saksi mengemukakan keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Terdahulu, perbicaraan hari keempat kira-kira 10.30 pagi tadi dimulakan dengan keterangan saksi pendakwaan kelapan iaitu ASP Razak Sulaiman yang menahan Yong ketika tertuduh hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira 9 malam pada 9 Julai 2019.

Mahkamah kemudian memanggil saksi kesembilan iaitu Thong Wan Cheng, 54, yang merupakan setiausaha di agensi pekerjaan pembantu rumah yang terletak di Bercham.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, Thong memberitahu pada 8 Julai 2019 kira-kira 11 pagi, operator agensi pekerjaan itu menerima panggilan daripada penerima aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Riki Sapari yang memaklumkan dia dihubungi mangsa dan mendakwa telah dirogol majikannya.

"Saya telah menghubungi Riki semula melalui aplikasi WhatsApp selepas dia tidak menjawab panggilan saya dan Riki meminta saya membuat laporan polis serta pergi menyelamatkan mangsa di rumah majikannya," kata saksi.

Thong berkata bagaimanapun pemandu dan staf kaunselor agensi pekerjaan itu yang pergi ke rumah Yong pada kira-kira 1.30 tengah hari diberitahu mangsa terbabit - berusia 24 tahun - tidak lagi berada di rumah berkenaan selain sejambak kunci rumah tersebut turut hilang.

Pihak pendakwaan diketuai Jamil dengan dibantu Liyana Zawani dan Ainul Wardah Shahidan sementara pasukan pembelaan diketuai peguam Rajpal Singh.

Yong, 51, yang menghadapi pertuduhan merogol mangsa di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pembelaan.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.