Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thailand: Jumlah kes baru Covid-19 terus melonjak

Kes Covid-19 di Thailand kini melepasi angka 30,000 ketika negara berdepan gelombang baharu jangkitan dan kemunculan varian yang sangat mudah merebak.

Thailand mencatat 405 kes baharu termasuk 391 penularan tempatan dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 30,310 dan 95 kematian.

Gelombang baharu itu dikaitkan dengan pusat hiburan di Bangkok dan kemunculan varian Covid-19 B117 UK.

Untuk memutuskan rantaian jangkitan, Thailand merancang menutup pusat hiburan di Bangkok dan di 40 wilayah sekurang-kurangnya dua minggu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pusat itu akan mencadangkan kepada sektor awam dan swasta supaya petugas bekerja dari rumah untuk mengurangkan perjalanan tidak penting dan risiko jangkitan.

"Setakat ini kluster pusat hiburan di Bangkok sudah merebak ke 20 wilayah," katanya pada taklimat harian Covid-19, di Bangkok, hari ini.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, yang akan mempengerusikan mesyuarat CCSA esok, dijangka membincangkan mengenai peningkatan kes itu.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa mungkin akan mempertimbangkan semula tempoh kuarantin yang diperkenalkan bulan ini.

Thailand mengurangkan tempoh kuarantin kepada tujuh dan 10 hari mulai 1 April berbanding 14 hari sebelum ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Anupong Paochinda berkata sekatan pergerakan seluruh negara tidak perlu dilaksanakan buat masa ini.

Beliau berkata, Prayuth sudah memberi kenaran kepada gabenor dan jawatankuasa penyakit berjangkit di setiap wilayah untuk mengambil tindakan bergantung kepada situasi di kawasan masing-masing.

"Situasi wabak di setiap wilayah mungkin berbeza-beza jadi gabenor boleh mengambil langkah yang sesuai untuk mengurangkan kesan buruk terhadap ekonomi masyarakat setempat," katanya, seperti dipetik The Nation.

-Bernama

Lihat Komen
ADS