mk-logo
Berita
Kabinet arah enam kementerian teliti kesan dasar kabotaj
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 4:59 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Berikutan beberapa permohonan daripada syarikat teknologi global, kabinet telah mengarahkan enam kementerian untuk teliti kesan dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kementerian berkenaan mempunyai 14 hari untuk mengemukakan cadangan mereka kepada kabinet.

"Pengecualian dasar kabotaj untuk membaiki kabel dasar laut dibincangkan di kabinet hari ini.

"Menteri-menteri daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (telah) diarahkan untuk meneliti kesan terhadap pelaburan digital dan (industri) perkapalan negara,” ciap Khairy.

Laporan disertakan dengan cadangan dan akan dimaklumkan dalam masa dua minggu.

Pentadbiran Pakatan Harapan pada bulan Mac 2019 mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya kapal asing itu terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, pengecualian tersebut ditarik semula pada November 2020 oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Pada 10 April lalu, empat syarikat gergasi teknologi - Amazon Web Service, Facebook, Google dan Microsoft - mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan pengecualian kabotaj yang meluluskan operasi kapal asing terlibat pembaikan kabel dasar laut.

Empat syarikat tersebut berkata penarikan pengecualian kabotaj itu telah memberi kesan negatif terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global dan dasar memberikan faedah ekonomi yang boleh diabaikan kepada Malaysia.

Menurut syarikat teknologi itu, dasar tersebut juga bercanggah dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) - yang dilancarkan kerajaan Muhyiddin pada bulan Februari - yang bertujuan untuk menarik lebih banyak pendaratan kabel bawah laut antarabangsa ke Malaysia.

Pada November tahun lalu tiga syarikat - Microsoft, Google dan Facebook- juga telah bersama-sama menulis surat kepada Muhyiddin berhubung hal yang sama.

Ketiga-tiga syarikat itu turut memberi amaran, bahawa dasar itu hanya akan mewujudkan situasi di mana hanya satu syarikat Malaysia bakal memonopoli projek pembaikan kabel bawah laut.

Pun begitu, Wee tetap tegas dalam mengembalikan dasar kabotaj.

Wee, dalam kenyataannya pada 4 April lalu mempertikaikan dakwaan monopoli itu.

Kata menteri pengangkutan itu, di sebalik dasar kabotaj, Malaysia telah memberikan tujuh pengecualian kabotaj untuk kapal asing memperbaiki kabel bawah laut sejak 15 November tahun lalu.

Jelas Wee lagi, dasar kabotaj akan membantu membina kapasiti tempatan dan mengurangkan aliran keluar mata wang asing.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS