Dr M: Hentikan permusuhan sekurang-kurangnya sehari
Sempena Hari Keamanan Antarabangsa hari ini, penduduk dunia diseru menghentikan semua bentuk permusuhan sekurang-kurangnya sehari dalam setahun.
Sempena Hari Keamanan Antarabangsa hari ini, penduduk dunia diseru menghentikan semua bentuk permusuhan sekurang-kurangnya sehari dalam setahun.
Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata: "Hari Keamanan Antarabangsa adalah hari gencatan senjata sedunia apabila semua negara dan semua orang menghentikan permusuhan sepanjang hari berkenaan.
"Kalau ia tidak dilakukan oleh pemimpin, maka rakyat patut melakukannya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata, dalam peperangan pada zaman moden, pemimpin dan jeneral berada jauh di belakang barisan tentera dan tidak menghadapi bahaya untuk terbunuh atau cedera.
"Mengetahui hakikat ini, pemimpin dan jeneral ini akan melihat peperangan sebagai satu opsyen bagi menyelesaikan konflik antara negara.
"Apabila tentera mereka menghentikan permusuhan selama sehari, pemimpin dan jeneral ini akan terpaksa menyedari bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk mengorbankan anak muda dalam peperangan yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah," katanya.
Dr Mahathir berkata sekiranya Hari Keamanan Antarabangsa mampu menjadi satu langkah kecil ke arah menimbulkan kesedaran sejagat tentang penderitaan yang dialami oleh manusia akibat peperangan, maka usaha ini patut diberi pujian.
"Sekiranya saranan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pemberhentian rasa permusuhan selama sehari pada 21 September ini dihayati oleh semua pihak yang terlibat dalam peperangan di dunia, maka kita boleh katakan bahawa agenda keamanan global sudah mula membuahkan hasilnya," katanya.
Dr Mahathir juga berkata usaha bersepadu perlu wujud bagi mengutuk semua peperangan.

