Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara pengeluar minyak juga hadapi defisit, kata Tok Pa

Wabak Covid-19 menyebabkan banyak negara, termasuk negara maju dan negara pengeluar minyak, berdepan masalah kewangan sehingga ada yang mengalami defisit mencecah 15 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata bukan Malaysia saja yang berdepan kekangan kewangan pada masa ini.

"Itu realiti hari ini dan perkara ini bukan boleh disorok. Ini cabaran ekonomi terbesar dengan apa yang melanda di Malaysia dan negara lain. Semua negara menghadapi defisit sehingga ada yang mencecah 15 peratus, manakala Malaysia mencatat defisit enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita berhutang disebabkan hasil jatuh dan pada masa sama, keperluan kita meningkat. Kita perlu berbelanja lebih kerana keutamaan kerajaan adalah menjaga keperluan rakyat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Mustapa yang turut dikenali sebagai Tok Pa itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sudah tiada banyak wang ekoran perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Muhyiddin berkata ini kerana kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Mengulas lawatan kerja ke DOSM Mustapa berkata, kerajaan menyasarkan proses bancian penduduk dan perumahan Malaysia 2020 selesai pada Jun tahun ini.

Jelasnya seramai 15 juta orang, atau 46 peratus, daripada anggaran 32.7 juta penduduk pada tahun 2020 sudah selesai dibanci.

"Empat negeri yang mencatatkan kadar respon 60 peratus ke atas Putrajaya iaitu (100 peratus); Johor (65.4); Kelantan (60.9) dan Perak 60.8 peratus," katanya.

Katanya lagi, antara kaedah bancian digunakan ialah dalam talian, bersemuka menggunakan pen dan kertas, bersemuka menggunakan telefon bimbit dan meninggalkan borang bancian di rumah.

Lihat Komen
ADS