Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes gaduh di restoran berpunca isu bayaran makanan
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 10:49 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Isu pembayaran makanan antara pemilik dan pelanggan dipercayai menjadi punca pergaduhan di luar sebuah restoran makanan di Jalan Kuala Kangsar, di Ipoh, seperti yang tular di laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian tersebut, sebaik ia berlaku kira-kira pukul 9 pagi tadi dan hasil siasatan dan tindakan pihaknya, berjaya menahan dua lelaki yang dikenal pasti terlibat dalam pergaduhan berkenaan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan provokasi di antara pemilik restoran berumur 39 tahun dan pelanggan berumur 38 tahun, atas isu pembayaran makanan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 160/ 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Dalam pada itu A Asmadi berkata, pihaknya juga turut mengesan pemilik akaun Twitter bernama ‘V 3 3 R U @ VEERUUUUUUUU’, yang mengeluarkan satu ciapan kononnya anggota polis yang berada di tempat kejadian tidak mengambil tindakan yang sewajarnya, dengan berkongsi satu video mengenai kejadian pergaduhan tersebut.

A Asmadi berkata semakan polis mendapati, beberapa individu yang dilihat berpakaian uniform warna gelap di dalam video itu bukan anggota polis, sebaliknya anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ipoh mengenai perkara yang tular berkenaan, untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS