Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penulis tolak penjelasan DBP isu ejaan ‘tuhan’
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 3:30 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Penulis Uthaya Sankar SB menolak penjelasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkaitan penggunaan perkataan “tuhan” (T huruf kecil) dan “Tuhan” (t huruf besar).

Penulis pelbagai genre itu berkata penjelasan DBP tidak boleh diterima akal, tidak meyakinkan dan menegakkan benang yang basah.

“Akan tetapi, apa yang ditemui hanyalah tindakan menegakkan benang yang basah oleh pihak DBP dalam menutup tindakan subversif menghina penganut agama-agama bukan Islam dengan cara sengaja meletakkan syarat menggunakan ‘tuhan’ (huruf kecil) dalam karya kreatif,” katanya.

DBP semalam berkata, menurut Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu terbitannua, Tuhan sebagai kata yang berhubung dengan agama hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Menurut DBP, kata Tuhan dalam kamus mereka dirakam sebagai kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, sesuai dengan penggunaan berdasarkan data yang ditemukan.

Tuhan (huruf kecil) pula menurut DBP adalah nama am yang merujuk kepada dewa-dewa dan sebagainya yang mempunyai nama-namanya yang khas.

DBP berkata perkembangan sama menjadi amalan beberapa rujukan dalam bahasa Inggeris seperti Oxford Dictionary of English, Collins English Dictionary dan Wikipedia.

Dalam Oxford Dictionary of English Second Edition (2003), God merujuk kepada Tuhan dalam agama monoteistik (percaya kepada hanya satu Tuhan), manakala god merujuk kepada tuhan-tuhan bagi agama yang bersifat politeistik (percaya kepada banyak tuhan),” kata DBP.

Sejak bila bukan Islam guna ‘tuhan’?

Uthaya bagaimanapun dalam kenyataan balasnya hari ini berkata penggunaan perkataan oleh “masyarakat” yang dirakam kamus hanya merujuk kepada orang Melayu, “bukan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.”

“Bersediakah DBP untuk menerima kenyataan daripada masyarakat bukan Islam yang menegaskan kami menggunakan ‘Tuhan’ apabila merujuk kepada Tuhan dan itu juga ‘perkembangan bahasa dan penggunaan oleh masyarakat’ yang wajar diiktiraf?

“Sejak bila pula masyarakat bukan Islam menggunakan “tuhan” (huruf kecil) bagi Tuhan?” katanya.

Uthaya minggu lalu membangkitkan perbezaan penggunakaan kata tuhan dalam terbitan DBP seperti dalam antologi Meredah Kabus (2021) yang didakwanya “usaha licik memperlekeh hak beragama orang bukan Islam”.

Katanya, perkataan “Tuhan ditukar kepada “tuhan” (huruf kecil) dalam karya penulis bukan Islam.

“Nampaknya, bukan hanya istilah ‘Allah’ dijadikan milik eksklusif orang Islam di Malaysia, malah ‘Tuhan’ juga mahu diwartakan sebagai milik khusus orang Islam.

“Dikatakan bahawa ‘Tuhan’ (huruf besar) hanya layak digunakan bagi Allah,” katanya.

Lihat Komen
ADS