Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak sempat balik kampung, 42 Pati ditahan di Sungai Golok
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 6:04 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Hasrat sekumpulan pendatang tanpa izin (Pati) warga Thailand untuk kembali ke kampung halaman tidak kesampaian apabila cubaan mereka menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand secara haram melalui Sungai Golok, berjaya dihidu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, dalam kejadian di pangkalan haram Tok Awang Belulang, Pasir Mas, kira-kira jam 9.45 malam itu anggotanya terserempak dengan sebuah bas yang diparkir dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, beberapa penumpang bas dilihat membawa beg dan bagasi dan cuba menyeberangi Sungai Golok menggunakan perahu.

"Anggota kemudian segera mendekati mereka untuk menghalang daripada menyeberangi sungai selain membuat pemeriksaan di dalam bas dan mendapati kesemua mereka adalah Pati warga Thailand termasuk dua kanak-kanak.

"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Kita turut menahan pemandu dan kelindan bas masing-masing berusia 34 dan 30 tahun yang bertindak sebagai dalang utama membawa Pati berkenaan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stol, Pasir Mas, hari ini.

Azhari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu-individu terbabit cuba mengambil peluang untuk pulang ke negara mereka sempena Ramadan dan hari raya selain pas lawatan yang sudah tamat tempoh.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63 serta tindakan dan siasatan lanjut akan dilakukan.

Dalam perkembangan berasingan, PGA7 berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM10,346 di pangkalan haram Pok Nik, Pasir Mas, jam 6 petang semalam.

Azhari berkata, anggotanya ternampak seorang lelaki warga tempatan sedang memunggah kotak dari belakang sebuah rumah ke dalam kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan.

"Anggota kemudian menghampiri suspek berusia 26 tahun serta memperkenalkam diri sebagai anggota polis sebelum membuat pemeriksaan dan menemui kesemua mercun dipercayai untuk pasaran tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Suspek ditahan, manakala mercun dirampas untuk dibawa ke IPD Pasir Mas," jelasnya sambil menegaskan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 (mercun).

Lihat Komen
ADS