Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin AMK Sabah bidas MP Tawau isu bantuan diberi 'lagi seminggu dua'
Diterbitkan:  Apr 25, 2021 9:10 PM
Dikemaskini: 3:02 PM

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Sabah Razeef Rakimin membidas kenyataan Ahli Parlimen Tawau Christina Liew bahawa bantuan makanan hanya akan diedar dalam tempoh "satu dua minggu" lagi.

Liew, yang juga pengerusi PKR Sabah sebelum ini mengulas mengenai ketiadaan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Muhibbah Raya di daerah itu meski selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilanjutkan.

Isu itu telah membawa kepada demonstrasi dan penangkapan beberapa aktivis.

"Bakul makanan dalam dua minggu, nak tunggu rakyat kebulur?

"Bagi saya, beliau sebagai wakil rakyat Tawau tidak sepatutnya memberikan alasan sedemikian.

"Saya tidak pasti beliau tahu atau tidak, tetapi PKPD di Kampung Muhibbah Raya dilanjutkan selama dua minggu.

"Bukankah pelik bila beliau menyatakan bakul makanan akan diagihkan dalam tempoh dua minggu lagi. Itupun setelah beliau balik ke Tawau," katanya dalam kenyatan media hari ini"

Tambah Razeef, badan bukan kerajaan yang tidak menerima gaji mampu membungkus 2,000 bungkusan bakul makanan dalam tempoh sehari untuk diagihkan.

Justeru, katanya, alasan yang diberikan Liew "sangat dangkal dan agak lucu".

Razeef juga berkata pengagihan bakul makanan tidak semestinya memerlukan wakil rakyat berada di lokasi.

"Apa peranan pusat khidmat Parlimen Tawau jika beliau tidak boleh berikan arahan agar segera menghantar bakul makanan ke kawasan terbabit," katanya.

Liew ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata dia kini dalam proses mempersiapkan 2,000 bantuan makanan bagi kawasan parlimennya.

Namun, jelasnya, ia hanya boleh diedarkan dalam seminggu dua lagi.

“Lagi seminggu dua saya akan balik Tawau, dan saya akan berikan kepada mereka,” kata Liew.

Tujuh individu yang ditahan polis kerana terlibat dalam protes pelanjutan PKPD di Kampung Muhibbah Raya direman selama dua hari mulai pagi tadi.

Menurut peguam yang mewakili mereka, Raymond Guok, kes disiasat mengikut akta disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 188 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 25 Ordinan Darurat yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM10,000.

Sementara itu, dalam kenyataan susulan malam ini, Liew menggesa agar kerajaan GRS yang memimpin kerajaan negeri mempercepatkan bantuan kepada penduduk di Tawau yang dikenakan PKPD.

Dia juga berkata, pusat khidmatnya kini bertungkus lumus menyediakan bantuan kilat kepada keluarga yang memerlukan dan akan diagihkan secara bersasar dan berperingkat dalam masa dua minggu ini.

"Saya dapat merasakan kesusahan yang dialami oleh penduduk terutama golongan B40 yang terjejas pendapatan mereka.

"Saya rasa amat sedih membayangkan ada keluarga yang tidak kecukupan makanan untuk berbuka puasa," katanya, dengan memetik Taman Sri Indah dan Kampung Titingan agar diberi keutamaan.

Liew turut menyarankan agar pembukaan sektor ekonomi yang terhad untuk mengurangkan beban dan tekanan ekonomi kepada penduduk Tawau yang tidak ada pendapatan tetap.

Katanya, perniagaan di kawasan perumahan dan di kampung-kampung perlu dilonggarkan mengikut SOP yang ditetapkan. 

Ini menurutnya dapat menambah pendapatan dan membantu peniaga-peniaga kecil.

Selain itu, dalam kenyataan susulan itu, Liew menggesa agar aktivis yang ditahan ketika membuat demonstrasi di Kampung Muhibbah dibebaskan segera.

"Kerajaan GRS dan PN perlu mendengar dan merasai denyut nadi rakyat yang kesusahan bukan menafikan hak mereka untuk bersuara," katanya.

Lihat Komen
ADS