Puad Zakarshi: Singapura pinggirkan masyarakat Melayu
Perang mulut antara Menteri Mentor Lee Kuan Yew dengan Malaysia bertambah hangat dengan tokoh Melayu Johor turut menyanggah kenyataan "nakal" beliau itu.
Perang mulut antara Menteri Mentor Lee Kuan Yew dengan Malaysia bertambah hangat dengan tokoh Melayu Johor turut menyanggah kenyataan "nakal" beliau itu.
Ketua Penerangan Umno Johor Senator Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sebelum mengulas keadaan di Malaysia, Lee Kyan Yew sepatutnya sedar bahawa orang Melayu di republik itu sudah lama terpinggir.
Katanya, kebanjiran orang Melayu Singapura menjadikan Johor Bahru sebagai rumah mereka walaupun bekerja di republik itu adalah bukti jelas mereka dipinggirkan secara sistematik oleh pemerintah negara itu.
"Kita dapat melihat bahawa ramai orang-orang Melayu Singapura yang tinggal di Johor Bahru walaupun bekerja di republik tersebut. Ini menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di negara tersebut.
"Mereka sedar bahawa pemerintah republik tersebut telah meminggirkan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lee Kuan Yew baru-baru ini bahawa masyarakat Cina di Malaysia serta Indonesia dipinggirkan oleh pemerintah kedua-dua negara.
Menurut laporan Bernama, kenyataan Lee itu menerima kritikan hebat pemimpin-pemimpin negara ini termasuk dari MCA dan Gerakan.
Mohd Puad, yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat turut menyifatkan kenyataan Lee itu sebagai "menepuk dulang tepung, tepung terkena muka sendiri" berdasarkan kepada peristiwa pada 21 Julai 1964.
Menurutnya, rusuhan kaum yang berlaku pada tarikh tersebut di Singapura, berpunca dari kenyataan-kenyataan Lee yang dibuat beberapa hari sebelum itu yang memperkecil-kecilkan kebolehan orang Melayu Singapura.
"Akibatnya pada 21 Julai tahun itu, ketika orang Melayu berarak untuk menyambut sambutan Maulidur Rasul, mereka telah diganggu oleh golongan yang telah diapi-apikan menerusi kenyataan terdahulu Lee itu," katanya.
Jangan berlembut
Berdasarkan kepada kejadian tersebut yang dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa ketika itu, beliau berkata, adalah jelas bahawa pemerintah Singapura sememangnya meminggirkan masyarakat orang Melayu di negara itu.
"Kerajaan Malaysia sebaliknya tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina, Lee sepatutnya faham tentang perkara ini," katanya.
Fuad juga menyifatkan kenyataan pemimpin Singapura itu adalah suatu provokasi terhadap masyarakat Cina negara ini.
Mohd Puad berkata, kenyataan provokatif Lee itu boleh membangkitkan suasana tidak stabil di antara pelbagai kaum di Malaysia, selain bertentangan dengan semangat kejiranan negara-negara anggota Asean.
Beliau seterusnya meminta kerajaan jangan berlembut dengan Singapura terutamanya berkenaan isu yang menyentuh kepentingan negara seperti usaha untuk membangunkan selatan Johor di bawah pelan pembangunan Kawasan Ekonomi Johor Selatan (SJER).
Kerajaan perlu bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan Singapura terutamanya berkenaan usaha di bawah pembangunan SJER untuk membesarkan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan menjadikan Lapangan Terbang Senai sebagai pusat kargo serantau, katanya.
Mohd Puad juga mahukan kerajaan pusat mengkaji lebih teliti cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan kereta api laju di antara Kuala Lumpur dan Singapura, agar ia tidak hanya menguntungkan republik itu sahaja.

