Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua dos vaksin AstraZeneca habis ditempah tak sampai 4 jam
Diterbitkan:  May 2, 2021 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Kesemua dos AstraZeneca Covid-19 habis ditempah orang ramai hanya dalam masa kurang dari empat jam selepas pendaftaran untuk vaksin tersebut dibuka.

Pendaftaran untuk 268,800 dos AstraZeneca bermula sekitar tengah hari tadi dibuat menerusi laman web https://www.vaksincovid.gov.my/.

Pada mulanya berlaku masalah teknikal pada proses tersebut akibat sebilangan besar orang ramai yang mengunjungi laman web tersebut secara serentak.

Ia mengakibatkan sistem pada laman sesawang tersebut memaklumkan kepada pengguna bahawa tidak ada lagi slot janji temu untuk vaksin tersebut hanya beberapa minit selepas pendaftaran dibuka.

Bagaimanapun masalah itu dapa diatasi dengan segera dan proses pendaftaran disambung sebelum semua slot habis ditempah kira-kira jam 3.15 petang ini.

"Semua slot AstraZeneca telah ditempah sepenuhnya. Saya mohon maaf atas kesulitan pada awalnya dan memerlukan refresh berkali-kali,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan untuk menawarkan AstraZeneca secara sukarela ekoran kebimbangan isu komplikasi darah beku yang sangat jarang berlaku - terutama dalam kalangan orang muda - yang dikaitkan dengan vaksin berkenaan.

Awalnya kerajaan merancang untuk memberikan vaksin AstraZeneca untuk individu yang berumur 60 tahun ke atas. Untuk rekod seseorang yang mendaftar melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak dibenarkan memilih vaksin.

Namun individu yang bersedia menanggung risiko kecil daripada AstraZeneca boleh mendapatkan vaksin tersebut dengan kaedah yang lebih cepat.

Dos pertama AstraZeneca akan diberikan seawal 5 Mei ini.

Empat pusat ditetapkan untuk orang ramai menerima suntikan vaksin tersebut iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

Buat masa ini pendaftaran sukarela untuk kumpulan vaksin AstraZeneca itu hanya tersedia untuk mereka yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor.

Khairy berkata, apabila lebih banyak vaksin AstraZeneca tiba, mekanisme pendaftaran sukarela yang sama akan diperluaskan ke negeri lain kecuali di Sarawak.

“Kita dijadualkan akan menerima satu juta dos lagi bulan ini melalui Covax.

“Kerajaan akan memperluas pemberiannya ke negeri lain (kecuali Sarawak kerana menolaknya) dan memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet dan lain-lain juga boleh mendaftar," katanya.

Lihat Komen
ADS