Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Varian baru masuki Kelantan mungkin dari kunjungan kenduri di KL

Penularan varian South African B.1.351 di Kelantan dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri membabitkan rakyat negeri itu yang hadir ke majlis kenduri di Kuala Lumpur.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata sehingga semalam sebanyak 10 kes membabitkan varian tersebut dikesan dari Kluster Bunut Sarang Burung.

"Bagi kes varian South African B.1.351 ini, kerajaan mendapati ia hasil pergerakan rentas negeri.

"Mungkin kerana ada rakyat Kelantan pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri sebelum membawa balik varian berkenaan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Kata Izani lagi untuk kes yang dicetuskan daripada pergerakan rentas negeri, kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan perantau semata-mata kerana ia membabitkan dua pihak iaitu rakyat Kelantan yang berkunjung ke luar selain orang luar masuk ke Kelantan.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan mengesan kewujudan varian berkenaan pada Mac lalu.

Sementara itu Izani menyifatkan penularan varian itu di Kelantan begitu mengejutkan kerana ia mempunyai lima akibat serius yang menjadikan ia lebih berbahaya.

Antara lain katanya kadar kebolehjangkitan (RT) akan menjadi tinggi, selain mengurangkan imuniti badan.

Individu yang dijangkiti Covid-19 dari varian berkenaan juga akan mendapat kesan lebih teruk berbanding pesakit lain.

"Justeru, saya mengingatkan semua pihak termasuk golongan kenamaan (VIP) supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri sekiranya tiada urusan penting," katanya.

Lihat Komen
ADS