Ada janji temu penerima vaksin AstraZeneca dijadualkan semula
Mereka yang dijadual menerima dos pertama vaksin AstraZeneca esok mungkin perlu memeriksa semula waktu janji temu mereka.
Ini selepas terdapat di kalangan bakal penerima yang mengadu janji temu mereka dijadualkan semula semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan penjadualan semula itu hanya melibatkan sebilangan kecil penerima.
Ia membabitkan penerima yang membuat janji temu esok (5 Mei) di Universiti Malaya di Petaling Jaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.
Pejabat itu menjelaskan mereka yang telah membuat janji temu sepatutnya menerima pemberitahuan di aplikasi MySejahtera.
Namun, sebilangan daripada mereka yang janji temunya ditangguhkan mengatakan mereka tidak menerima sebarang pemberitahuan.
"Jika anda telah daftar vaksin Astrazeneca. Periksa waktu untuk vaksinasi di aplikasi MySejahtera dari semasa ke semasa.
"Mereka baru saja tukar (temu janji) saya di aplikasi. Tidak ada pesanan teks. Tidak ada pemberitahuan," kata Samantha Chong, bekas pembantu kepada bekas Menteri Undang-Undang, mendiang Liew Vui Keong.
Boo Su Lyn, ketua editor portal berita kesihatan CodeBlue, juga menghadapi masalah serupa.
"Periksa MySejahtera dan dapat tahu bahawa janji temu vaksinasi AstraZeneca saya ditukar dari jam 9 pagi kepada 4 petang, tetapi pada hari yang sama - 5 Mei.
"Saya tidak dapat pemberitahuan mengenai perubahan itu," katanya di Twitter.
Seorang lagi pengguna Twitter berkata dia hanya menyedari perkara itu selepas membaca tulisan Boo di Twitter.

