Malaysiakini
BERITA

Polis panggil Arul isu himpunan 1 Mei, solidariti Fahmi

B Nantha Kumar

Diterbitkan

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan akan dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk merakamkan keterangan berhubung menghadiri Himpunan 1 Mei (May Day) dan himpunan solidariti untuk aktivis Fahmi Reza.

Ketika dihubungi, Arul mengesahkan bahawa dia telah dihubungi oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung kedua-dua himpunan yang disertai olehnya.

"Bagi Himpunan 1 Mei, saya menerima panggilan daripada balai polis semalam.

"Saya bersama empat lagi peserta telah diminta menghadiri ke balai pada Isnin depan," katanya.

Selain Arul, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan, ahli PSM Nik Aziz Afiq, E Nalini dan bekas presiden Persatuan Pemuda baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke turut dipanggil untuk memberi keterangan.

Perhimpunan 1 Mei (May Day) merupakan satu acara tahunan dianjurkan oleh PSM sejak awal tahun 90'an sempena sambutan Hari Pekerja.

Sementara itu, Arul juga berkata bahawa dia bersama seorang lagi ahli PSM telah diminta hadir ke balai polis untuk mengambil keterangan kerana menghadiri perhimpunan solidariti untuk Fahmi Reza pada 24 April yang lalu.

"Saya dan Sivaranjini menerima notis panggilan untuk diminta ke balai 11 pagi esok. Tapi, mungkin saya cuba tangguhkan kepada pukul 2 petang atau Isnin depan," katanya.

Terdahulu, Arul diminta menghadiri siasatan kes di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah (Akta 593) kerana menghadiri perhimpunan solidariti untuk Fahmi.

Fahmi sebelum ini disiasat polis berhubung 'playlist' Spotify yang dibuatnya yang menampilkan gambar Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dia kemudian dibebaskan setelah ditahan semalaman.

Bahagian 111 Kanun Tatacara Jenayah 2012 menyatakan bahawa pegawai polis mesti mendapatkan perintah bertulis untuk meminta kehadiran mana-mana orang yang mungkin terlibat dalam kes yang sedang disiasat.

Sekiranya gagal hadir sepertimana yang dikehendaki, mahkamah boleh mengeluarkan waran untuk memastikan kehadiran.

Kegagalan atau keengganan untuk hadir sepertimana yang dikehendaki juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga sebulan atau dengan sehingga RM 2,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.