Malaysiakini
BERITA

40 rumah rosak dipukul ribut di Perlis

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2021, 8:42 pagi

Sebanyak 40 buah rumah rosak akibat kejadian ribut di beberapa kawasan di Perlis semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, Azman Mohd Yusof berkata jumlah terkumpul mangsa ribut yang diperoleh setakat ini melibatkan 40 buah rumah dalam kejadian ribut yang berlaku antara 7.30 hingga 8.00 malam tadi.

“Kejadian tersebut melibatkan beberapa kampung di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sanglang dan Simpang Empat.

"Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana rumah masih boleh diduduki," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kebanyakan rumah rosak di bahagian bumbung dan dinding akibat diterbangkan angin kuat ketika kejadian.

Azman berkata kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan telah mengagihkan bantuan awal berupa kit bencana, bakul makanan, selimut, tikar dan keperluan asas untuk setiap keluarga.

Beliau menasihati mangsa ribut agar segera membuat laporan polis bagi membolehkan agensi berkaitan menyalurkan bantuan dan pembaikan rumah.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.