Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman siasat kes timbalan pesuruhjaya polis Sarawak
Diterbitkan:  May 12, 2021 4:04 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Fisol Salleh berhubung dakwaan salah laku dan salah guna kuasa.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata siasatan dibuat berikutan beberapa aduan dilakukan terhadap pegawai kanan polis itu.

“JIPS telah memulakan siasatan secara menyeluruh dan telus.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan menjurus kepada wujudnya apa-apa salah laku dan salah guna kuasa olehnya,” kata Zamri dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata PDRM tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan, pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam sebarang penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini, satu perkongsian mengenai pegawai kanan tinggi itu tular menerusi laman Facebook yang mendakwa bekas Komander Unit 69 Komando Pasukan Gerakan Khas itu menjadi pelindung utama sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di Sarawak.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket dipetik Utusan Borneo berkata pihaknya yakin akan dapat mengenal pasti individu yang "menabur fitnah di laman sosial" ke atas Fisol.

Katanya, pelbagai kaedah pengesanan digunakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

"Siasatan mendapati ia merupakan satu fitnah dan tohmahan terhadap beliau bertujuan menjatuhkan imej dan reputasi Datuk Fisol Salleh sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak," kata Lukas pada 10 Mei di Kuching.

Lihat Komen
ADS