Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM nasihat patuhi SOP Hari Raya Aidilfitri
Diterbitkan:  May 12, 2021 8:48 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 tidak memburuk.

"Keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti di negara kita adalah semakin meruncing. 

"Kini lebih banyak kes varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan di samping peningkatan kluster terutama kluster rentas negeri, kenaikan sehingga 70 peratus kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan kenaikan sehingga 80 peratus kes tidak bergelaja adalah semakin membimbangkan.

“Masyarakat seharusnya mengambil iktibar dan berusaha untuk mengelak daripada dijangkiti virus Covid-19 yang berbahaya ini,” katanya hari ini.

Malaysia melaporkan rekod tertinggi 39 kematian akibat Covid-19 hari ini. Kes baru setiap hari juga berada pada paras tertinggi sejak tiga bulan, dengan 4,765.

SOP untuk Hari Raya Aidilfitri, yang disambut esok, adalah seperti berikut:

Takbir Raya: Hanya ahli jawatankuasa dibenarkan berada di masjid dan surau.

Solat Sunat Aidilfitri: Dibenarkan di masjid dan surau

  • Bagi masjid yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah; kehadiran jemaah dibenarkan tidak melebihi 50 orang.
  • Bagi masjid yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah; kehadiran jemaah dibenarkan tidak melebihi 20 orang.
  • Masjid atau surau yang termasuk dalam senarai Hide perlu mengambil langkah kesihatan awam atau ditutup jika diarahkan pegawai kesihatan daerah.

Tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah, rentas negeri, rumah terbuka, jamuan makan, jamuan selepas solat sunatAidilfitri, ziarah dari rumah ke rumah atau ziarah ke perkuburan.

Semua lawatan penjara juga telah dibatalkan tetapi keluarga boleh menempah slot persidangan video selama 15 minit melalui Jabatan Penjara.

Dalam suasana perayaan ini, Dr Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menghadiri himpunan untuk mencegah jangkitan merebak.

"Rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan dari menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan.

"Dan menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk menziarahi kubur," katanya.

Dr Noor Hisham juga menegaskan bahawa ziarah dari rumah ke rumah boleh memperburuk keadaan Covid-19, terutama kerana virus itu sudah menyebar di kalangan masyarakat.

Sebanyak 435 kluster Covid-19 berasaskan komuniti telah direkodkan dalam lima bulan pertama tahun ini.

"Kluster-kluster komuniti ini berpunca daripada jangkitan kontak keluarga dan kontak rapat, aktiviti keraian, pengebumian, perkahwinan, perayaan, dan lain-lain aktiviti sosial.

"Seperti yang dilaporkan, majoriti mereka yang dijangkiti tidak mempunyai gejala (78.4 peratus) dan ini menjadikan risiko jangkitan serta penularan adalah amat tinggi sekiranya aktiviti kunjung mengunjung di hari raya tetap dilaksanakan," jelasnya.

Banyak hospital terutama di Lembah Klang kekurangan katil untuk pesakit Covid-19 di wad biasa dan ICU. 

Kes sporadik kini merangkumi 80 peratus daripada semua kes manakala kes yang berkaitan dengan varian Covid-19 yang lebih mudah berjangkit juga meningkat.

Kes sporadik merujuk kepada kes pesakit di mana sumber jangkitan belum diketahui.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS