Cuba nasib dapat vaksin, orang ramai 'serbu' WTCKL
Orang ramai berpusu-pusu hadir ke pusat vaksinasi di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini disebabkan terdapat individu yang tidak mendaftar untuk vaksin AstraZeneca tetapi "mencuba nasib" untuk mendapatkannya, kata Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Ini ditambah lagi dengan mereka yang seharusnya diberi vaksin hari ini yang tiba lebih awal dari waktu temu janji mereka.
"Sebagai contoh, ada tiba pada jam 2 petang untuk temu janji vaksinasi jam 6 petang.
"Terdapat juga sebilangan besar orang yang memutuskan untuk" mencuba nasib" dengan hadir bagi tujuan membuat temu janji, menyumbang kepada kesesakan yang lebih banyak lagi," kata CITF pada satu kenyataan.
Kira-kira 8,100 orang dijadualkan mendapat vaksin hari ini di WTCKL - yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Orang ramai dilihat berkumpul di luar pintu bangunan itu sementara menunggu temu janji mereka.
Keadaannya lebih teratur di dalam WTCKL, walaupun pemerhatian Malaysiakini mendapati ramai orang hadir untuk mendapat vaksin menyebabkan mereka beratur panjang.
Satu pasangan yang mempunyai temu janji pada pukul 3.30 petang hanya mendapat suntikan vaksin AstraZeneca mereka hampir pukul 5 petang.
Menteri Penyelaras Vaksin Covid-19 Khairy Jamaluddin juga dilihat membantu di kaunter pendaftaran.
Menurut seorang pegawai, menteri itu membantu mendaftarkan mereka yang mempunyai temu janji selama lebih dari tiga jam.

Untuk mengelakkan kesesakan di masa depan, CITF menasihati mereka yang mendapat vaksin agar tiba 15 hingga 30 minit lebih awal dari waktu temu janji mereka dan tidak lebih awal dari itu.
Pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca dilakukan secara sukarela setelah timbul kebimbangan mengenai komplikasi yang jarang berlaku seperti darah beku.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

