Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff perlu meletak jawatan dari menjadi anggota Lembaga Disiplin Umno bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan berlaku politik wang dan pelbagai pelanggaran peraturan dalam pemilihan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu berjalan secara adil dan telus.
Gesaan itu dibuat oleh anak bekas Perdana Mentrei, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz.
Mukhriz yang juga ahli Exco Pemuda Umno berkata, Osman (foto kanan) bukan sahaja tidak boleh hadir dalam prosiding siasatan tersebut malahan perlu meletakkan jawatan kerana beliau secara terang-terangan terbabit menentang pencalonan Dr Mahathir dalam pemilihan pada 9 September lalu itu.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada tindakan lima orang ahli Umno Kubang Pasu membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno Jumaat lalu.
Dalam aduan tersebut antara lain mereka mendakwa berlaku politik wang, campurtangan orang luar dalam kempen pemilihan dan berlaku ugutan terhadap perwakilan yang menyokong Dr Mahathair.
Mukhriz berkata;"Tidak memadai dengan Osman mengelakkan diri daripada mendengar prosiding siasatan aduan berkenaan kerana kehadirannya dalam panel berkenaan akan menekan ahli panel lain yang mendengar kes itu."
"Saya rasa Osman patut meletak jawatannya," tegas Mukhriz sambil berharap satu siasatan yang telus dan adil akan dijalankan .
Menyentuh tentang dakwaan kalangan tertentu bahawa kelima-lima pengadu itu adalah penyokong kuatnya, Mukhriz berkata beliau bukan dalang di balakang aduan berkenaan tetapi mengakui mengenali kelima-lima ahli Umno itu.
Pengadu berkenaan mendakwa telah disogok dengan wang supaya tidak mengundi Dr Mahathir manakala yang lain mengadu berlaku campurtangan daripada kakitangan kerajaan dan orang luar dalam kempen pemilihan tersebut.
Seorang lagi pengadu mendakwa telah dikenakan "kuarantin" selama enam hari hingga ke hari pemilihan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno Kubang Pasu, Samsuddin Ahmad mendakwa kelima-lima pengadu tersebut adalah penyokong kuat Mukhriz yang kecewa apabila Dr Mahathir tidak terpilih sebagai perwakilan ke mesyuarat agung Umno November depan.
"Jika Dr Mahathir menang, tentunya mereka tidak akan membuat aduan,"katanya.
