Tiada pilih kasih dalam pemilihan anggota ke Lebanon
Tiada pilih kasih dalam pemilihan anggota pasukan pengaman negara ke Lebanon, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.
Tiada pilih kasih dalam pemilihan anggota pasukan pengaman negara ke Lebanon, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.
Beliau berkata anggota berkenaan dipilih berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam menyertai misi pengaman sebelum ini.
"Tidak ada pilih kasih dalam pemilihan anggota berkenaan. Kita memilih individu ini bukan semata-mata berdasarkan kekuatan mental dan fizikal sahaja tetapi kita melihat kepakaran dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan sembahyang sunat tarawih di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kuantan.
Pasukan tentera pengaman negara yang terdiri daripada 360 anggota itu dijangka berlepas ke Lubnan pada 5 November depan bagi menyertai Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) di negara itu.
Zainal Abidin berkata, pasukan pengaman negara yang terdiri daripada anggota dari tentera darat, laut dan udara telahpun bersedia memikul tugas di negara berkenaan.
Menurut laporan Bernama, Malaysia sebelum ini memohon untuk menghantar 1,000 anggota bagi menyertai misi itu namun Setiausaha Agung PBB Kofi Annan bersetuju Malaysia menghantar hanya seramai 360 anggota tentera ke Lubnan.
Zainal Abidin menambah, pasukan berkenaan kini menjalani latihan di Kuantan termasuk pembelajaran bahasa bagi memudahkan penyesuaian diri di negara itu.
Beliau berkata pasukan berkenaan juga akan turut dianggotai Pasukan Khas Laut (Paskal) yang mempunyai kepakaran dalam taktikal peperangan jika terdedah kepada situasi membimbangkan.
Sehubungan itu, Zainal Abidin berkata sebuah kapal TLDM, KD Inderapura juga akan dihantar seminggu lebih awal dari tarikh berkenaan bagi membawa peralatan dan kelengkapan logistik.

